05 August 2022

SEMAKIN STABIL SELEPAS 24 JAM - DISANGKA STROK, RUPANYA INSULIN DALAM BADAN AKO MUSTAPHA KOSONG



"Saya tidak tahu dia tidak mengambil ubat kerana bertugas di luar kawasan sejak seminggu lalu. Apabila tiba di rumah pada pagi semalam (Khamis) saya lihat raut wajahnya berubah. Saya cadang pergi ke hospital tetapi suami enggan.


"Selepas bangun tidur, mukanya pula menjadi senget dan saya terus menghubungi ambulans dan Ako terus dibawa ke HKL," itulah kata isteri kepada pelakon Ako Mustapha iaitu Kartina Shuaib mengenai suaminya yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disangka mengalami serangan angin ahmar pada pagi Khamis.

Isteri Ako memberitahu ketika bangun tidur, wajah suaminya kelihatan senget yang membuatkan dia segera menelefon ambulans untuk dibawa ke hospital. Bercakap lanjut mengenai keadaan Ako, 51, Kartina memberitahu dia berasa lega apabila doktor mengesahkan Ako bukan diserang angin ahmar.

Sebaliknya, ketiadaan insulin di dalam badannya menyebabkan saraf serta otot tidak dapat berfungsi sehingga menyebabkan wajahnya menjadi herot.

Klik untuk gambar besar



Menurut Kartina, Ako mula menghidap penyakit diabetes sejak 2016 namun keadaannya ketika itu tidak serius sehinggalah baru-baru tahap kesihatannya kurang memberangsangkan.

Doktor yang memantau keadaannya turut mendapatkan sejarah kesihatan serta diet pemakanan bagi mengenal pasti punca berlakunya keadaan itu.

"Ako mula menghidap diabetes sejak 2016 namun hanya makan ubat sekitar tiga tahun lalu. Awalnya tidak begitu teruk, cuma kebelakangan ini kesihatan dia menurun mungkin kerana sering terlepas makan ubat.


"Doktor banyak bertanya tentang sejarah kesihatan dan pemakanannya sebelum ini bagi mencari punca mengapa kesihatannya tiba-tiba merosot semalam," ujarnya.

Sementara itu, selepas 24 jam mendapatkan rawatan di hospital, Kartina memberitahu Ako semakin stabil namun masih di bawah pemantauan doktor di wad pengasingan di HKL. Malah katanya, Ako sudah boleh bercakap berbanding keadaan ketika dia mula dibawa ke hospital.

"Syukur dia sekarang sudah stabil dan boleh bercakap. Sekarang masih di wad pengasingan untuk pemantauan. Saya sendiri tidak boleh melawat," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: