12 August 2022

SHUIB: "DIA TAK LEBIH DARIPADA KAWAN INDUSTRI" - WAN SHARMILA: "SAYA TIDAK RIMAS WARGANET JODOHKAN..."



Keakraban pelakon Wan Sharmila dengan ibu pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu iaitu Salamiah Jalani pada majlis tahlil sempena setahun pemergian Allahyarham Siti Sarah pada 8 Ogos lalu itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dan tanda tanya daripada orang ramai.


Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 38, ketika ditanya sejauh mana hubungannya dengan pelakon drama '7 Hari Mencintaiku' itu seperti hangat diperkatakan pengguna laman sosial, berkata dia pernah beberapa kali bekerjasama dengan Wan Sharmila.

"Dia tak lebih daripada kawan industri (rakan berkerja di bidang sama). Dengan Wan Sharmila kami pernah 'shooting' (penggambaran) sekali Sepahtu Reunion. Mengenali dia secara peribadi, baik orangnya, comel, pandai bawa diri dan pandai jaga diri.

"Kawan industri saja, sekali dua saja pernah bekerja sekali. Jadi ia lebih pada kawan macam tulah. Bukan kawan rapat atau selalu bekerjasama tak, tapi lebih pada kawan industri. Suka juga tengok dia sebab dia pandai bawa diri," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Shuib, ibunya adalah peminat Wan Sharmila dan teruja berjumpa pelakon itu buat pertama kali pada majlis tahlil pemergian arwah isterinya baru-baru ini. Dalam masa sama, Shuib mengakui ada berbincang dan bercakap soal jodoh jika itu sudah ditentukan Allah.

"Mak saya memang minat Wan Sharmila. Dia suka tengok Wan Sharmila berlakon. Mak-mak kita kan suka tengok drama sebelah petang, jadi dia memang suka Wan Sharmila.

"Kebetulan tempoh hari Makder (ibu tiri Siti Sarah) menjemput Wan Sharmila datang, jadi dia teruja nak jumpa dan pertama kali nak jumpa berdepan. Itu yang ada video dan gambar.



"Kalau nak cerita bab jodoh, memanglah kita ada bincang dan borak-borak dengan keluarga lebih-lebih lagi dengan mama, tapi macam yang mama cakaplah dia memang nak tengok anak dia gembira saja.

"Jadi, dari segi bab pengganti atau sekarang ini saya berkawan dengan siapa atau pilihan itu siapa, Insya-Allah, mama memang serahkan kepada saya. Dia punya motif itu saja nak tengok anak dia bahagia dan gembira," katanya.

Sementara itu, Wan Sharmila memberitahu dia tidak mengambil serius usikan netizen yang cuba menjodohkannya dengan Shuib Sepahtu selepas dia memanggil ibu kepada pelawak itu 'Mama'. Tambahnya, ibu Shuib sendiri yang mahu dirinya dipanggil Mama dan dia berbuat demikian sebagai tanda hormat.


"Ibu Shuib yang suruh panggil Mama. Takkan saya nak menolak, nanti dianggap kurang sopan pula. Dia sudah bahasakan diri Mama, jadi saya turutkan sahaja. Saya tidak rimas pun apabila warganet terus menerus mahu menjodohkan saya dengan Shuib.

"Terpulang, hak masing-masing," jelas Wan Sharmila yang turut memaklumkan mengenai status dirinya sekarang dimana dia masih belum berpunya.

Terdahulu, gambar yang dikongsi Salamiah dan Wan Sharmila sendiri menjadi bualan netizen sehingga ada yang bersetuju pelakon itu menggantikan tempat arwah Siti Sarah sebagai isteri Shuib.

Malah menerusi TikTok, Salamiah menimbulkan tanda tanya peminat apabila meletakkan keterangan gambar, 'biar gambar berbicara' yang menyebabkan lebih banyak spekulasi dan andaian peminat.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: