03 August 2022

TAK DAPAT PINDAH RUMAH BAHARU DEK JAMBATAN HANYUT - EBBY YUS SABAR MENANTI



"Saya belum terima kunci rumah yang dibina di bawah projek Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bernilai RM56,000 itu. Jika kunci diserahkan pun, macam mana saya hendak pindah kerana jambatan hanyut dibawa air," itulah kata pelawak Ebby Yunus, 56, yang belum dapat menduduki kediaman baharu di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat, berikutan jambatan penghubung ke penempatan itu, musnah, dalam bencana banjir, Disember tahun lalu.


Ebby mendakwa sudah mengemukakan aduan kepada wakil rakyat serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri agar jambatan baharu dibina, namun, difahamkan, perkara itu masih dalam proses kelulusan. Bagaimanapun, Ebby berkata, dia tiada masalah untuk menunggu jambatan baharu dibina.

"Saya tiada masalah biarpun kerja pembinaan jambatan mengambil sedikit masa. Kami faham, modal untuk membina jambatan, bukanlah kecil. Lagipun, JPS perlu memikirkan pelbagai perkara lain.

"Disebabkan keadaan itu, ada penduduk terpaksa berpindah keluar. Laluan hanya boleh dilalui motosikal. Ada satu lagi laluan alternatif yang agak jauh, namun, masih dalam pembinaan," jelasnya.

Ebby berkata, penduduk di kawasan penempatan terbabit kini terpaksa menggunakan laluan alternatif yang hanya boleh dilalui motosikal. Selain itu, Ebby bimbang untuk berpindah berikutan sungai yang terbentuk di hadapan rumah selepas banjir, Disember lalu, masih terhakis.

Klik untuk gambar besar



"Hakisan itu perlu diperbaiki bagi mengelak rumah saya terkena kesannya. Saya tidaklah trauma atas apa yang berlaku sebelum ini. Bagi saya, jika hendak banjir, mana-mana pun boleh berlaku. Jadi saya hanya mampu tawakal... lagipun, itu sahaja tanah yang saya ada. Mana lagi saya hendak pergi?" tuturnya.

Dalam pada itu, Ebby berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menggantikan kediamannya yang musnah dalam bencana banjir, akhir tahun lalu. Biarpun rumah baharu dibina dengan kos lebih kecil, Ebby bersyukur kerana bukan mudah untuk mengumpul modal membina rumah.

"Bantuan kerajaan ini membuktikan kami dipandang dan diberi perhatian berat. Bagi saya, berapa pun nilai rumah itu, saya tetap bersyukur asalkan ada tempat berteduh. Hendak harapkan saya kumpul semula wang dan bina rumah dengan modal dahulu, mungkin sukar dan ambil masa," katanya.

Pada 19 Disember lalu, Ebby berdepan ujian berat apabila rumah mahligai impian yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan, dihanyutkan air. Berikutan itu, Ebby menanggung kerugian hampir RM200,000.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: