08 August 2022

TERBABIT DALAM KEMALANGAN - SHEEDA TIDAK ALAMI KECEDERAAN SERIUS CUMA TRAUMA



Penyanyi dan pelakon Bienda meluahkan rasa syukur apabila ibunya, penyanyi dangdut Sheeda tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun trauma apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.


Bienda berkata, kejadian berlaku ketika dinaiki Sheeda bersama adik angkatnya, Ain dirempuh sebuah kenderaan lain ketika keluar dari simpang. Menurut Bienda, ibunya sudah membuat laporan polis dan kini sedang berehat di rumah.

"Mama ada undangan persembahan di Negeri Sembilan dan bertemu dengan adik angkatnya, Ain yang datang dari Johor, semalam. Malangnya ketika mama memandu kereta Ain untuk keluar minum, ia dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju.

"Mujurlah tiada kecederaan teruk, cuma mama agak trauma sebab dia jarang memandu di luar kawasan dan mengalami hentakan kecil di bahagian dada ketika cuba mengawal kereta. Alhamdulillah dia berada dalam keadaan baik ketika saya bertemunya semalam.

Klik untuk gambar besar



"Individu yang melanggar mama tiada lesen memandu dan difahamkan berada dalam keadaan separuh sedar. Ketika mama mahu membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru, Jempol, dia minta selesaikan perkara itu dengan memberi pelbagai alasan.

"Namun, mama tetap membuat laporan kerana kejadian semalam membahayakan orang lain. Individu itu tidak sepatutnya memandu dengan laju di kawasan kampung. Mujurlah mama dan Ain berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Sementara itu, cubaan media menghubungi Sheeda tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej yang dihantar tidak dijawab. Semalam, Sheeda memuat naik satu hantaran video memaklumkan dia terbabit dalam kemalangan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: