21 August 2022

TERUJA BAKAL DAPAT MENANTU - SHIERA TERIMA KEPUTUSAN ALLISYA NIKAH DI USIA MUDA



"Saya tak kisah pun dia (Allisya) nak kahwin awal. Itu pilihan dia untuk tamatkan zaman bujang pada usia muda. Sebagai ibunya, saya terima saja keputusan Allisya dan tidak menghalangnya.


"InsyaAllah, Allisya akan mendirikan rumah tangga pada 11 November depan, manakala majlis resepsi pula dijangka berlangsung pada 13 November. Alhamdulillah, saya pun sebenarnya tidak kisah dia nak berkawan dengan siapa.

"Pada saya, asalkan dia pandai menjaga batas pergaulan, syukur Alhamdulillah. Apapun, bagi saya bakal menantu juga seorang lelaki yang baik, dan begitu juga dengan keluarganya," tutur pengacara dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah yang bakal menerima menantu pertama pada 11 November depan, selepas anak sulungnya, Allisya Tahir, 23, selamat bertunang dengan lelaki pilihan, pada Mac lalu.

Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera, 47, berkata, sebagai ibu sudah semestinya dia berasa sangat teruja apabila anak daranya sudah disunting orang dan bakal berumah tangga tidak lama lagi.

Isteri kepada pelakon Ijoy Azhari itu berkata, kini dia berdoa agar perancangan majlis bahagia anaknya dan bakal menantu dipermudahkan oleh Allah SWT dan segala urusan mereka berjalan lancar.

Klik untuk gambar besar



"Saya hanya mampu bersyukur dengan rezeki dan rahmat daripada Allah ini buat kami sekeluarga. Cuma, sebelum ini saya tidaklah terlalu berkongsi mengenai perkara berkaitan keluarga di media sosial. Apapun, terima kasih di atas segala doa yang baik-baik buat kami.

"Setakat ini, persiapan masih lagi berjalan dan saya serahkan kepada anak dan bakal menantu saja untuk mereka uruskannya. Untuk saya, teruskan sokong mereka apa yang terbaik," katanya.

Untuk makluman, Allisya adalah anak Shiera hasil perkongsian hidup pada perkahwinan pertamanya dengan vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt yang berasal dari Singapura.

Sebelum ini, Allisya yang mewarisi bakat seni ibu bapanya pernah muncul dengan single berjudul 'Hey Pria' ciptaan Sharon Paul yang menjadi lagu tema drama 'Nasi Kerabu Untuk Che Abe' di slot Akasia TV3.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: