23 August 2022

TOLAK BABAK BERSENTUHAN - DANISH HAKIM DEDAH IBU PERNAH TOLAK HASRATNYA SERTAI PENCARIAN BAKAT LAKONAN



Ketika meluahkan hasrat untuk menyertai program pencarian bakat lakonan menerusi program Fit For Action, anak sulung kepada Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Danish Hakim mendedahkan dia pernah mendapat tentangan daripada ibunya yang juga pelakon dan penyanyi. Dia bagaimanapun berjaya meyakinkan ibunya dan mendapat sokongan daripada bapanya yang juga pelakon.


"Ayah memang sokong keputusan saya, tapi mak saya pula sebaliknya. Pada awalnya, dia tak setuju untuk saya sertai program ini dan melangkah ke dalam industri seni.

"Antara apa yang dikongsikan adalah, mengenai sisi gelap industri ini. Tapi, Alhamdulillah, dia dah makin faham minat saya dalam bidang lakonan dan dia dah mula terima," katanya.

Danish, 19, juga berkongsi mengenai pendapat pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof yang menganggapnya bukan orang yang sesuai untuk menjadi anak seni kerana ilmu agama dan peribadinya.

"Sedikit kisah yang saya boleh kongsi, Abang Syamsul Yusof pun pernah menghalang saya (daripada menjadi pelakon) sebab dia cakap, saya tak sesuai jadi artis. Saya lebih sesuai jadi ustaz. Mungkin disebabkan muka saya yang nampak macam 'budak baik'," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Danish yang dikenali sebagai remaja yang belajar dalam bidang agama itu juga menetapkan prinsip untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon.

"Saya dah jelaskan kepada pihak produksi bahawa saya tak boleh buat babak-babak bersentuhan. Orang tahu latar belakang saya sebagai pelajar agama, jadi saya perlu menjaganya.

"Tapi, andai kata saya perlu juga berlakon babak bersentuhan, saya akan minta bantuan kru atau pengarah untuk mengajar saya teknik kamera dan sebagainya. Selain itu, saya juga jelaskan kepada mereka bahawa saya perlu terus menunaikan solat apabila masuk waktu," tuturnya.

Program Fit For Action yang diacarakan oleh Fahrin Ahmad dan Hunny Madu akan mula bersiaran pada 3 September, setiap Sabtu, jam 10 malam.








         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: