11 August 2022

ZAMANI: "SAYA TIDAK ADA NIAT NAK BAGI PEMINAT SAYU LIHAT KEADAAN SAYA..."



Semua sedia maklum mengenai keadaan penyanyi Zamani yang menghadapi masalah skoliosis iaitu tulang belakang melengkung dan difahamkan, kesihatannya buat masa ini berada pada tahap agak teruk.


Zamani akui dia tidak pernah sengaja atau berniat mahu mengundang simpati peminat dengan keadaan dirinya apabila dilihat kerap menjayakan persembahan nyanyian.

Penyanyi berusia 51 tahun ini berkata, semua persembahan itu sudah dipersetujui lebih awal selain berhenti menerima tawaran hingga proses pembedahan tulang belakang dijalankan November ini.

"Saya tidak ada niat nak bagi peminat sayu setiap kali melihat keadaan saya di pentas atau muncul di mana-mana. Saya nak bagi mereka tengok saya masih aktif. Apabila mereka risau, itu tanda mereka sayang. Apa pun doakan saya.

"Lagipun persembahan yang dibuat itu sudah dipersetujui lebih awal. Setakat ini tawaran memang sampai Oktober depan. Boleh dikatakan sepanjang dua bulan ini setiap minggu ada persembahan. Cuma, sekarang saya sudah berhenti ambil tawaran hingga selesai pembedahan.

"Kalau buat persembahan pula, saya membuat permintaan untuk tidak berdiri lama. Berjumpa peminat selepas persembahan boleh dan tak ada masalah. Penganjur pun memberikan keyakinan kepada saya yang mana tidak ada aktiviti lain membabitkan masa yang lama," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Klik untuk gambar besar



Menurut Zamani atau nama penuhnya Zamani Ibrahim, sebelum prosedur pembedahan, dia bakal muncul dengan Konsert Doa Buat Zamani.

"Konsert Doa Buat Zamani ini lebih kepada persembahan saya nak berjumpa peminat dan boleh juga dikatakan doa selamat sebelum saya menjalani pembedahan. Butiran lanjut persembahan ini akan dimaklumkan kemudian.

"Apa boleh dikongsikan, ia bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur. Buat masa ini ia persembahan solo saya dan terdapat dua penyanyi jemputan wanita yang bakal membuat 'tribute' lagu-lagu saya. Penjualan tiket pula lebih kepada nak mengumpul dana," ujarnya.

Sebelumnya, Zamani bakal muncul pada persembahan Rhythm of Legends Live in Concert anjuran CS Excellent dengan kerjasama Drug Free Malaysia (DFM) pada 29 dan 30 Oktober ini di Dewan Plenarry, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut menampilkan Datuk Hattan, Asmidar, Rojer Kajol, One Nation Emcees dan Mawi.

Dalam masa sama, Zamani berkata, isterinya, Nur Juliana Abd Rani sentiasa berada di belakangnya: "Isteri, dia sentiasa bersama saya. Dia ikut saja apa saya buat. Cuma katanya, habiskan semua dana yang diperoleh itu untuk tujuan perubatan," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: