29 August 2022

ZARA ZYA NAFI BUAT GIMIK MURAHAN TAPI HANYA PENUHI PERMINTAAN PEMINAT



"Saya muat naik gambar sendiri bersiap cantik-cantik tetapi hanya dapat beberapa sahaja tanda suka sedangkan ada berjuta pengikut di Instagram. Berbeza pula kalau memuat naik gambar atau video yang mempunyai cerita.


"Pengikut akan menonton dan memberi komen kerana kalau tiada 'content' mereka tidak akan tengok," itulah kata pelakon Zara Zya yang tidak berniat mencipta gimik murahan apabila memuat naik gambar bersama Shuib semata-mata untuk mempromosikan perniagaan.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 37, sebaliknya berkata, apa yang dilakukan itu hanyalah semata-mata memenuhi permintaan peminat.

Mengulas lanjut tentang hubungannya dengan Shuib, Zara yang ditemui di majlis pelancaran Bubble Bee by Zara Zya di Bandar Tasik Permaisuri Kuala Lumpur ini menyifatkan pelawak itu sebagai seorang jejaka budiman dan sering memberi sokongan kepada rakan artis lain.

Klik untuk gambar besar



"Dia seorang yang baik dan kami juga pernah sekali bekerjasama sebelum ini tetapi itu sudah lama," jelas Zara yang sebelum ini pernah bertunang dengan pelakon Hafreez Adam pada 12 Oktober 2019 namun ikatan itu putus sebulan kemudian..

Tidak mengambil pusing apabila ramai yang ingin mengambil tahu tentang identiti lelaki yang akan menjadi pasangan hidupnya, Zara berkata, dia melihat perkara itu sebagai musim dan usikan-usikan tentangnya adalah perkara biasa.

"Saya tak kisah pun sebab benda ini ikut musim. Jika saya bersama pelakon A, mereka akan kata saya ada hubungannya dengannya. Ada segelintir peminat pula saling berlawan untuk menentukan siapa pasangan terbaik untuk saya," ujarnya.



Bagaimanapun, kata Zara, dia tidak berasa terbeban atau tertekan untuk mendirikan rumah tangga kerana berpegang kepada jodoh ketentuan Tuhan. Pelakon drama 'Honey-Moon' itu turut meminta agar peminat mendoakan agar dia bertemu jodoh yang baik.

"Mungkin kerana kawan-kawan seangkatan banyak yang sudah mendirikan rumah tangga, jadi ramai menunggu giliran saya. Faktor usia juga membuatkan mereka tertunggu-tunggu bila saya hendak kahwin. Sejujurnya saya tidak terbeban dengan perkara itu tetapi adakalanya ia memberi kesan kepada saya.

"Kadang kala apabila penat bekerja saya akan tertanya kenapa mereka berbuat demikian. Mana tahu kalau-kalau buka bisnes di sini, saya akan bertemu jodoh," katanya secara bergurau, selain mengharapkan semua pihak mendoakan yang terbaik buatnya.



Dalam perkembangan lain, Zara memberitahu dia memilih untuk membuka Bubble Bee by Zara Zya itu kerana sudah lama minat dalam bidang perniagaan makanan dan minuman.

Zara berkata, peluang diberikan Shuib disambut baik kerana dia tidak perlu bimbang tentang pengurusan dan pemasaran selain hanya fokus kepada jualan.

"Sebelum ini saya pernah ada perniagaan yang diuruskan 100 peratus tetapi dengan Bubble Bee mereka sudah ada pengurusan dan pemasaran sendiri. Apa yang saya perlu lakukan adalah fokus kepada jualan dan akan cuba meluangkan sebanyak masa mungkin di kedai untuk berjumpa peminat dan meluangkan masa bersama mereka," tuturnya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: