30 September 2022

AKUI ADA RASA SAYANG PADA 'CRUSH' LAMA - ASHIRA BUKA HATI BERCINTA TAPI TRAUMA NAK KAHWIN LAGI



"Alhamdulillah... saya boleh katakan kami sedang berkawan dan dia adalah yang istimewa. Bagaimanapun belum fikir lagi ke fasa seterusnya... biarlah kami berkawan dahulu. Saya pun sudah beritahu dia untuk tidak terlalu cepat merancang perkahwinan.


"Kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini membuatkan saya masih trauma. Luka lama pun belum sembuh lagi!" demikianlah kata penyanyi Ashira yang mengakui sedang bahagia mengenali lelaki bernama Fairul Ezuan, bagaimanapun memberitahu belum terfikir untuk kembali mendirikan rumah tangga.

Dua kali gagal dalam perkahwinan sebelum ini, Ashira berkata disebabkan itu dirinya masih trauma untuk kembali bergelar isteri. Meskipun begitu, Ashira memberitahu kehadiran Ezuan membuatkan dirinya kembali ceria walaupun mereka baru dipertemukan sebulan lalu.

Klik untuk gambar besar



Mengakui lelaki itu adalah 'crush' pertama ketika masih muda dahulu, Ashira menerusi media sosial miliknya telah menceritakan bagaimana dia kembali bertemu dengan Ezuan setelah sekian lama terpisah.

"Kami sudah kenal lama... sejak saya zaman remaja lagi. Kemudian terpisah dan terus tidak berhubung. Kebetulan adik Ezuan adalah salah seorang anggota dalam band saya. Dari situ kami mula berhubung.

"Ketika pertama kali bertemu semula pada 30 Ogos lalu saya takut untuk menegurnya kerana dia hadir menyaksikan persembahan saya dengan seorang wanita. Rupa-rupanya wanita itu adalah isteri kepada adiknya.



"Mungkin Allah telah aturkan untuk kembali berjumpa dengan orang yang pernah saya sayang. Jujur rasa sayang itu masih ada. Sepanjang tempoh sebulan ini juga dia buat saya kembali gembira," ujarnya.

Bercakap tentang penerimaan anak lelakinya dalam hubungan kali ini, Ashira berkata Haziq gembira jika melihat dirinya bahagia: "Anak saya tidak ada masalah dengan hubungan kali ini. Dia gembira jika saya bahagia," jelasnya.

Untuk makluman, Ashira pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Bad Indigo pada 11 Mac 2021. Pasangan ini mengumumkan mereka sudah bercerai pada Jun lalu. Ashira juga sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Megat Shazril Haziq Hadi, 16.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: