"Kenapa perlu hina mak orang sampai begitu sekali. Boleh tak menghormati keluarga saya? Kalau ada masalah, beritahu saya, jangan babitkan mereka. Jangan ganggu keluarga saya sebab ibu saya tak kacau sesiapa pun.
"Apa kalian akan rasa kalau ada seseorang kurang ajar dengan keluarga kalian pula?" kata pelakon berdarah campuran, Anna Jobling yang kesal terhadap segelintir netizen yang tergamak mempersenda dan meninggalkan komen buruk terhadap paras rupa ibunya.
Baru-baru ini tular video di aplikasi TikTok memaparkan beberapa keping gambar Anna bersama ibunya yang menjadi perhatian ramai. Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dimana ramai tidak menyangka wanita itu merupakan ibu kandung kepada pelakon berkenaan.
Lebih kesal, ada segelintir netizen menyangkakan wanita di dalam gambar itu merupakan pembantu rumahnya atau pun bibik. Malah, ada yang bermulut celupar mendakwa pelakon itu merupakan anak angkat kerana tidak memiliki wajah seiras ibunya.
Klik untuk gambar besar
Anna berkata, ibunya tidak pernah mengganggu sesiapa dan berharap semua pihak dapat menghormati hati dan perasaan keluarganya. Menurut Anna, walaupun ibunya kerap menjadi sasaran buli siber, namun dia bersyukur jantung hatinya itu kuat dan sentiasa berfikiran positif.
Anna yang mengakui sedih membaca komen negatif itu menjelaskan, ibunya tidak peduli dengan apa diperkatakan ramai kerana apa yang penting adalah untuk memberi fokus pada dirinya.
"Dia sangat kuat dan tak kisah apa orang nak cakap. Dia hanya memberi fokus penuh kepada saya. Jadi terpulang kepada orang luar nak buat apa. Sedih itu memang sudah semestinya sebab ibu saya tak ganggu orang.
"Mungkin sebab saya adalah figura awam, jadi netizen rasa mereka boleh komen apa saja mengenai saya. Kenapa tak nak komen mengenai kerjaya saya je? Tapi nak buat macam mana, netizen kan ada mulut. Mereka akan sentiasa bercakap," tuturnya.
Dalam pada itu, Anna begitu tersentuh apabila peminatnya sentiasa menjadi tulang belakang dan memberikan kata-kaya semangat kepada dia dan ibunya.
"Peminat saya baik dan mereka kenal saya macam mana. Saya bersyukur mendapat sokongan daripada mereka," ujarnya ketika ditemui selepas pementasan teater 'Madu Ku Terpaling Kalut'.
________________________
No comments:
Post a Comment