01 September 2022

AKUI KESILAPAN - SHILA AMZAH ANGGAP TINDAKAN BUANG GULA-GULA DIDORONG FAKTOR KESIHATAN



"Semasa acara itu berlangsung, saya sebenarnya sedang demam. Saya memang ada satu tabiat sebelum membuat persembahan, iaitu saya suka mengunyah gula-gula berangin untuk menyejukkan tekak.


"Selalunya, saya ingat untuk membuang terlebih dahulu gula-gula itu. Tapi, pada hari itu, saya mengambil beberapa ubatan seperti ubat batuk dan selsema, sekali gus mengganggu pemikiran saya juga sampaikan saya terlupa. Ditambah pula dengan busana yang saya pakai, agak berat, jadi memang saya terlupa semua benda.

"Selepas dah menyanyi bahagian 'adlip', rasa macam nak tercekik dan terganggu. Nak telan, takut tersekat pula. Bila tengah tak sihat, ruang udara macam terbatas, jadi, saya kena buang gula-gula itu," itulah jelas penyanyi Shila Amzah yang menganggap insiden dia membuang gula-gula ketika membuat persembahan di Konsert Merdeka 65 yang ditayangkan di TV2 pada ambang Merdeka baru-baru ini sebagai satu kesilapan daripada pihaknya.

Klik untuk gambar besar



Menurut penyanyi lagu 'Khilaf Asmara' itu, apa yang berlaku adalah kerana dia pada masa sama terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan. Ujarnya, dia juga rasa terganggu dengan gula-gula yang masih berada di dalam mulutnya ketika itu.

Tambahnya lagi, dia sebelum ini sentiasa beringat memandangkan insiden ini bukanlah insiden pertama seumpamanya. Shila bagaimanapun bersyukur kerana persembahannya di acara itu berjalan dengan lancar.

"Sebelum ini, saya dah pernah 'buat hal' di acara akhir Anugerah Juara Lagu yang mana, turut 'tertangkap' oleh kamera. Selalunya, saya memang ingat dan tak pernah buat dah.


"Bila dah berlaku sekali lagi dan tular, saya tak boleh nak buat apa sebab benda dah jadi. Bagi saya, ini adalah hiburan. Orang nak cakap apa pun, cakaplah," katanya.

Penyanyi ini ditemui di majlis sidang media pengumuman senarai calon akhir Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23) yang berlangsung hari ini di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Shila tercalon dalam tiga pencalonan iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu 'Bahagiakan Dia' bersama Liza Hanim, Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama menerusi lagu 'Khilaf Asmara' dan 'Bahagiakan Dia.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: