Pelakon Aprena Manrose baru-baru ini telah mendapat pujian apabila dilihat mula memakai niqab. Bagaimanapun, Aprena menjelaskan dirinya masih belum berubah ke arah penampilan sedemikian.
Berterima kasih atas segala komen yang diberikan, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 29, berharap peminat terus mendoakan agar suatu hari nanti dia akan tampil dengan imej sebegitu.
"Gambar tersebut di ambil ketika saya hadir ke sebuah majlis ilmu. Ada juga beberapa bahagian dalam video yang dikongsi menunjukkan saya belum berniqab. Tetapi doakanlah saya berubah ke arah itu. Mungkin komen-komen pujian itu adalah doa untuk saya terus tetapkan diri di jalan Allah,” katanya.
Sebelum ini, menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya, anak kepada penyanyi Iwan itu berkongsi sebuah video memperlihatkan dirinya berniqab dan penampilannya itu menerima banyak komen positif dalam kalangan peminat.
Klik untuk gambar besar
Sering mengikuti kelas pengajian agama, Aprena akui ada ketika hatinya juga terdetik untuk mula berniqab apabila melihat ramai wanita yang hadir berpakaian begitu.
Dalam masa sama, Aprena berharap video yang dimuat naik itu dapat memberi pendedahan kepada lebih ramai orang tentang kelas agama yang dikhaskan untuk golongan wanita.
"Jujur saya katakan apabila pergi ke kelas ilmu agama sebegitu dan berjumpa dengan ramai wanita berniqab ada juga rasa teringin untuk ikut sama. Saya mahu berpakaian mengikut sunnah.
"Sebenarnya apa yang saya kongsikan di media sosial itu adalah untuk orang ramai yang sering bertanya tentang kewujudan kelas agama untuk golongan wanita. Banyak majlis sebegitu diadakan yang boleh disertai," ujarnya.
Sebelum ini, Aprena mengesahkan dirinya sudah bertudung sejak Jun tahun lalu. Dalam perkembangan lain, Aprena memberitahu dia masih lagi aktif dalam dunia lakonan dan bakal kembali ke set penggambaran drama bermula Oktober nanti.
"Kerjaya lakonan berjalan seperti biasa dan saya masih lagi terima tawaran. Insya Allah akan kembali ke set lakonan bermula Oktober ini. Allah telah aturkan perjalanan saya dengan sangat baik. Jika tidak terlibat dengan penggambaran, banyak peluang untuk saya hadir ke kelas agama," jelasnya.
________________________
No comments:
Post a Comment