14 September 2022

BILA 'KEMBAR' JUMPA FAZURA DEPAN MATA



"Itu adalah pertama kali saya datang ke konsert. Persembahan daripada semua artis sangat okay, dengan sistem bunyi yang bagus. Saya benar-benar terhibur. Sebenarnya saya tidak dijanjikan untuk berjumpa dengan Fazura pun, tapi sudah tentu saya mahu berjumpa dengan Fazura sekiranya diberikan peluang," itulah kata wanita yang mirip Nur Fazura, Ellya Farahanny Ridzuan apabila dia akhirnya dapat bertemu dengan pelakon itu.


Keputusan 'kembar' Fazura untuk menghadiri konsert Faztival Fazura 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad malam, adalah sangat tepat. Dia bukan sahaja terhibur dengan persembahan penyanyi-penyanyi hebat termasuk dari Indonesia, malah berpeluang untuk bersua muka dengan Fazura sendiri.

Berkongsi pengalaman manis, Ellya berkata, Faztival Fazura 2022 merupakan konsert pertama yang dihadirinya. Hadir bersama suami, dia yang lebih mesra disapa Elle turut memeriahkan konsert yang berlangsung selama tiga jam itu bersama beberapa pengikutnya di aplikasi TikTok.

Namun panggilan daripada pasukan yang bekerja dengan Fazura ternyata membuka peluang untuk menemui pelakon yang pernah dilabel sebagai wanita Melayu paling cantik di Malaysia.

Klik untuk gambar besar



"Saya memang keep in touch dengan team Fazura. Mereka kata ada peluang untuk jumpa Fazura selepas konsert. Konsert selesai sekitar pukul 12.20 tengah malam. Sekitar 1.30 pagi (Isnin), saya di luar Axiata Arena tunggu Fazura. Saya hanya cuba dan tak putus asa," ujar wanita berusia 20-an itu.

Menurut wanita yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu, pertemuan singkat selama lima minit bersama Fazura merupakan saat yang tidak dapat dilupakan.

"Masa tu, Fazura cakap akhirnya jumpa. Saya tergamam sebab dia sangat cantik malam tu. Aura Fazura lain macam, tak terkata saya dibuatnya. Fazura sangat baik dan merendah diri. Saya puji dia macam princess, satu fenomena. Bagi saya malam tu adalah a night to remember," katanya dengan nada teruja.



Terdahulu, Ellya menjadi perhatian di media sosial gara-gara wajahnya, malah suara dan gaya percakapannya dilihat mempunyai persamaan dengan penyanyi lagu 'Sayangi Dirimu' itu.

Bersyukur kerana dianugerahkan wajah mirip Fazura, apa yang lebih membuatkan Ellya terharu adalah keperibadian pelakon itu sendiri yang begitu disenangi.

"Saya sebenarnya dah plan kalau dapat jumpa Fazura, saya nak minta maaf dan tiada niat untuk menumpang popularitinya, tapi apabila dah jumpa terus tak terucap.



"Jujurnya saya bukan untuk meniru Fazura atau sesiapa pun. Saya hanya menjadi diri sendiri, tapi saya tahu ramai followers mengikuti saya kerana mirip wajah Fazura," katanya sambil menambah terpukau dengan persembahan kumpulan Ruffedge dan Mulan Jameela.

Bagi ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu, dia bagaimanapun tetap menghargai sokongan para pengikutnya di laman sosial.

"Ada followers minta saya berlakon di dalam video TikTok ikut babak ikonik dalam mana-mana filem lakonan Fazura. Tapi kena study dulu, dan saya akan cuba. Saya menghargai followers kerana merekalah membawa saya ke tahap ini. Jadi, saya cuba tunaikan permintaan mereka," tuturnya.



Dalam pada itu, rata-rata netizen turut terharu dengan pertemuan berkenaan sambil memuji kedua-dua wanita tersebut.

"Baik betul Fazura ni, patut la fans sayang dia. Seriously memang sama muka korang seperti siblings." - "Wah finally dah jumpa kembar sendiri." - "So nice Fazura, sangat friendly walaupun baru jumpa. You are so lucky sis Elle," komen beberapa netizen.

Konsert Faztival Fazura menampilkan persembahan hebat daripada Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi, termasuk Mulan Jameela dan Ahmad Band serta Fazura sendiri.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: