17 September 2022

BUAT LAPORAN POLIS DEK TAK MAHU KEPALA DIPIJAK - AZZA ELITE BERSYUKUR PEMILIK BUTIK SUDAH LANGSAI HUTANG



"Alhamdulillah sudah selesai semuanya. Tak perlulah saya panjangkan isu ini kerana tidak elok mengaibkan sesiapa," demikianlah kata penyanyi dan pelakon Azza Elite selepas pengusaha butik melunaskan tuntutan bayaran bagi penglibatannya dalam sebuah program sebelum ini.


Terdahulu, Azza telah membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Kuala Lumpur pada 14 September lalu bagi menuntut haknya daripada pihak berkenaan. Jelas Azza, dia bertindak sedemikian kerana enggan dirinya terus dipijak dan dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Hasil daripada laporan polis yang dibuat, bekas anggota kumpulan Elite itu memberitahu pihak berkenaan telah pun menjelaskan bayaran yang dijanjikan kepadanya.

Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari berkongsi tentang perkara berkenaan dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Azza berkata, apa yang berlaku kepadanya dijadikan sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak di masa akan datang.

Kata Azza, dia sedar dalam beberapa perkara terutamanya berkaitan urusan kerja dia perlu menjadi lebih tegas atau akan ada pihak mengambil kesempatan terhadapnya.

"Kita perlu tegas dalam beberapa perkara. Kalau berlembut tak kena tempat, memang orang akan pijak kepala kita. Apa yang berlaku juga saya jadikan pengajaran untuk lebih berwaspada apabila bekerjasama dengan mana-mana pihak pada masa akan datang.


"Bukan saya sahaja, sesiapa juga boleh ambil iktibar. Kalau ada urusan perniagaan, perlu ada invois sebagai bukti," jelasnya.

Sementara itu, mengambil keberkatan selepas menerima wang berkenaan, Azza menggunakannya ke jalan sedekah dengan mengedarkan sejadah kepada pengunjung yang hadir dalam sebuah acara expo di Singapura.

Jelas Azza, dia memang sudah berniat sekiranya mendapat wang tersebut ia akan digunakan ke jalan sedekah.

"Alhamdulillah duit tersebut dapatlah saya bersedekah sejadah kepada pengunjung di sebuah expo di Singapura, kebetulan saya juga sedang berniaga di sini. Saya pun memang dah berniat, kalau dapat wang tersebut memang nak buat amal jariah," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: