17 September 2022

"BEBAL SI ROSLAN SHAH INI... DIA KENA BAYAR GANTI RUGI, BUKAN MASALAH SAYA" - JAMAL ABDILLAH



"Saya masih ingat, ketika dalam perjalanan dari Kuantan ke Dungun bulan lalu, Roslan ada menghubungi saya, pujuk untuk hadir ke acara berkenaan. Saya sudah jelaskan, saya ada konsert eksklusif dengan penganjur di Singapura dan tak mahu ganggu penjualan tiket dengan membuat kemunculan terlalu kerap.


"Lebih sejam kami berbual di telefon... sebelum itu, dia hanya menghubungi staf saya untuk menawarkan jemputan berkenaan tetapi saya tidak pernah memberikan persetujuan. Entah mengapa dia nak tempah hotel, buat iklan dan buat pengumuman di media bahawa saya terlibat.

"Sudah banyak kali saya ulang, tapi itulah, bebal si Roslan ini, dia mahu juga saya datang. Mungkin dia (Roslan) ada agenda sendiri atau mahu kaut keuntungan," jelas penyanyi Datuk Jamal Abdillah yang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian untuk hadir ke sebuah acara di Singapura susulan dakwaan dia membatalkan kemunculan istimewa di negara itu pada Sabtu.

Sebelum ini, Roslan Shah menerusi temu bual bersama portal mStar, mendakwa dia terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM33,000 kepada pihak penganjur Pameran Pengantin Expo Singapura susulan Jamal membatalkan kehadirannya di saat akhir sebelum acara berlangsung. Roslan berperanan sebagai pembantu acara bagi expo itu yang bertanggungjawab menguruskan artis.

Klik untuk gambar besar



"Sebelum ini beliau (Jamal) sudah beritahu akan hadir ke program tersebut malah pihak penganjur sudah menempah hotel dan tiket penerbangan untuk ke Singapura namun Jamal tidak hadir. Saya dihubungi pihak penganjur tentang hal berkenaan dan telah diminta untuk membayar ganti rugi sedangkan ia bukan salah saya.

"Sebagai seorang penyanyi legenda, Jamal sepatutnya bersikap profesional dan maklumkan lebih awal jika tidak dapat hadir. Sekurang-kurangnya saya boleh mencari pengganti yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Jamal juga mendakwa sudah memaklumkan kepada Roslan tidak dapat menghadiri program itu disebabkan terikat dengan komitmen lain. Mengulas mengenai ganti rugi yang dinyatakan Roslan, Jamal menegaskan itu bukan tanggungjawabnya kerana sejak awal dia sudah memaklumkan tidak dapat menyertai program berkenaan.

"Dia kena bayar ganti rugi, bukan masalah saya. Sekiranya saya ada tanda tangan perjanjian maka barulah ia jadi tanggungjawab saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini. Sudah tentu saya rasa marah apabila orang boleh guna nama saya sewenang-wenangnya," ujar Jamal.



Sementara itu, Jamal memberitahu dia telah meminta anak lelakinya, Yamani Abdillah untuk tampil mengadakan persembahan di Singapura untuk tidak mengecewakan peminat memandangkan namanya telah disenaraikan sebagai artis yang akan hadir membuat kemunculan istimewa.

Perkara itu dilakukan kata Jamal kerana memikirkan namanya telah diwar-warkan akan hadir dan sekurang-kurangnya kehadiran Yamani sebagai wakil dirinya. Dalam perkembangan lain, Jamal memberitahu bakal mengadakan sebuah konsert di Singapura pada 31 Disember depan dan 1 Januari 2023.

Sementara itu, Roslan turut mendedahkan pelawak Yassin Yahya juga membatalkan penglibatan sebagai antara seorang selebriti yang akan membuka gerai jualan di expo berkenaan.



Kata Roslan, Yassin memaklumkan tidak dapat menyertai program itu pada saat-saat akhir meskipun promosi tentang penglibatan artis-artis dari Malaysia termasuk dirinya sudah dilakukan terlebih awal.

"Saya dimaklumkan oleh isteri Yassin dia ada masalah dan tidak boleh datang ke Singapura. Dia juga tidak maklumkan lebih awal dan beritahu salah seorang rakan artis lain menggantikan tempatnya di gerai jualan," tuturnya.

Kata Roslan lagi, situasi tersebut telah menjejaskan nama baiknya dalam kalangan penganjur di Singapura dan semua kesalahan diletakkan di bahunya. Mengambil iktibar atas apa yang berlaku, Roslan akan lebih peka apabila melibatkan nama-nama artis terkenal dalam mana-mana acara pada masa hadapan.

"Apabila nama artis yang memberi persetujuan sudah diiklankan di radio dan televisyen, orang akan datang untuk mencari mereka. Nama saya sendiri jadi buruk kerana mereka akan cara saya jika artis diharapkan tidak hadir. Ini ujian buat saya... walaupun rasa teraniaya, saya akan tetap kuat," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: