08 September 2022

DIPERSOAL MASUK GEGAR VAGANZA 9 - SHILA AMZAH NAFI SERTAI SEBAB DUIT



"Saya masuk GV9 bukan sebab duit. Ini kerana saya melihat program realiti ini boleh menjadi platform yang sesuai untuk seseorang penyanyi berkarya. Sebelum ini, saya menyertai pertandingan seperti The Masked Singer dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kedua-dua pertandingan itu mempunyai konsep berbeza.


"Setiap minggu kita akan cuba menampilkan persembahan terbaik dan mencabar kreativiti sendiri. Sebagai penyanyi, program GV9 membantu saya untuk lebih yakin, sekali gus memberi kepuasan kepada diri sendiri.

"Jika nak cakap takut pada kritikan, saya sudah lalui pelbagai kontroversi. Saya juga tak kisah dikritik dari segi nyanyian kerana lebih baik kritikan soal kerja berbanding peribadi," tutur Shila Amzah yang tampil menjelaskan sebab dia menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) selepas menerima kritikan ramai apabila ada yang mengatakan penyanyi itu tidak layak kerana masih aktif menyanyi.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, pembabitan Shila dikritik apabila ramai yang menganggap penyanyi itu masih muda dan relevan dalam industri muzik apabila baru sahaja menjuarai program The Masked Singer Malaysia musim kedua dan juga sedang mempromosikan single baharu bersama Liza Hanim iaitu 'Bahagiakan Dia'.

Ujar Shila, dia menyertai GV9 kerana mahu perbaiki diri serta menjadikan program itu tempat untuk berkarya. Sudah lali dengan kritikan, Shila berkata dengan menyertai program tersebut sekaligus membantunya untuk meningkatkan keyakinan diri.

Dalam pada itu, Shila mengakui takut dengan penyingkiran namun dia akan tetap bersikap positif jika perjalanannya dalam pertandingan itu terhenti ataupun tewas.


"Selalunya perkara paling saya takut menyertai pertandingan adalah penyingkiran. Jika boleh saya nak elak perkara ini berlaku pada saya. Seandainya tewas saya tetap bangga sebagai peserta paling muda dan bersaing bukan dengan calang-calang penyanyi," ujarnya.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, dia menganggap setiap anugerah yang diberikan Tuhan kepada setiap hamba-Nya adalah berbeza-beza.

"Saya sentiasa bersyukur dan mengingatkan diri yang anugerah Allah beri ini adalah berbeza-beza. Saya selalu pesan kepada diri saya supaya kekal fokus pada rezeki masing-masing. Apa yang Allah dah berikan pada kita, 'pinggan' kita, lauk kita itu, kita guna sehabis baik," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: