23 September 2022

DIPERTIKAI BAWA WATAK SUAMI ISTERI - INI JAWAB ZAMARUL HISHAM & BELLA ASTILLAH



Sejak dua hari lalu, drama 'Aku Tanpa Cintamu' lakonan Zamarul Hisyam dan Bella Astillah sudah pun disiarkan di kaca televisyen. Bagaimanapun, drama tersebut menerima reaksi kurang senang penonton dengan gandingan kedua pelakon itu apatah lagi masing-masing sudah pun berumah tangga.


Berhubung hal berkenaan, Zamarul berkata, dia dan Bella cuba elak melakukan adegan bersentuhan dan sudah pun meminta izin daripada suami Bella iaitu penyanyi dan pelakon Aliff Aziz.

"Saya baca di lnstagram (IG) ada yang pertikai Bella adalah isteri orang dan saya, suami orang. Terus terang saya katakan, apabila kami bekerja, kami tahu batasan. Ketika berada di set penggambaran juga, Aliff sentiasa menemani Bella. Malah, kadang-kadang, saya dan Aliff bersembang bersama.

"Sebagai pelakon 'senior', saya minta izin Aliff. Saya bersyukur Aliff faham. Namun, saya dan Bella cuba elak adegan bersentuhan melainkan untuk beberapa babak," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, suami kepada pelakon Diana Rafar itu menjelaskan adegan bersentuhan yang dilakukannya dengan Bella tidak lebih daripada hubungan abang dan adik.

"Dalam setiap babak bersentuhan yang tidak dapat dielak, adegan pegang itu lebih kepada abang dan adik. Lakonan saya dengan Bella tidak ubah seperti hubungan abang dan adik," ujarnya.

Sementara itu, aktor berusia 51 tahun itu mengakui selesa bekerja dengan Bella meskipun baru pertama kali bergandingan bersama serta menyifatkan hubungan mereka seperti keluarga.

"Hubungan kami sudah seperti keluarga. Itu yang seronok. Apabila kami berbincang mengenai skrip, semangat jadi berkobar-kobar hendak buat yang terbaik.



"Sebelum berlakon, Bella beritahu dia agak gugup. Terus terang saya mengaku teruja bekerja dengannya. Sebenarnya, Bella sangat hebat, jadi kena tonton drama ini untuk tahu," katanya.

Sementara itu, Bella pula memberitahu dia tidak memilih watak yang ditawarkan kepadanya namun akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya. Kata Bella, sebagai seorang isteri sudah tentu dia perlu meneliti terlebih dahulu dengan tawaran watak yang diberikan mestilah tidak keterlaluan.

"Saya memang tak memilih dari segi tawaran watak diberikan kerana masih dalam proses belajar. Tapi, asalkan watak itu tidak keterlaluan, okeylah. Sebabnya, anak-anak saya pun menonton TV dan tak mahu mereka tengok yang bukan-bukan.

"Saya tak cuba menunjuk diri baik. Cuma, saya kena fikirkan banyak pihak yang perlu dijaga terutama hati keluarga. Tapi, Aliff selalu ada membantu kerana dia juga sentiasa berada di set penggambaran menemani saya," maklumnya.



Bella turut menyifatkan watak yang dilakonkannya agak berat namun dia berusaha mencabar diri untuk melakukan yang terbaik. Tambahnya lagi, jika dia mahu bertanyakan sesuatu kepada Zamarul dia lebih selesa menghantar mesej kepada isteri aktor itu.

Ini kerana menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 28, kurang manis jika dia menghubungi atau mengirim mesej langsung kepada suami orang walaupun atas urusan kerja.

"Saya banyak berbincang dengan abang Zamarul dan pengarah, Emi Suffian untuk melakonkan babak dalam drama ini kerana kami menjaga batas dan cuba mengelakkan daripada bersentuhan.

"Saya juga kalau ada apa-apa yang nak tanya atau pesan kepada abang Zamarul, pasti akan kirim mesej kepada isterinya, kak Diana kerana lebih selesa. Saya tak pernah 'chat' atau kirim mesej langsung dengan abang Zamarul," katanya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: