23 September 2022

DUDUKI CARTA TOP 10 NETFLIX DI DUNIA - PENDEKATAN AGAMA ISLAM DALAM 'MAT KILAU' BERJAYA BUKA MATA PENONTON



"Alhamdulillah saya bersyukur dengan sambutan luar biasa ini. Saya diberitahu filem ini menjadi antara paling menarik perhatian di beberapa buah negara termasuk di Israel dan Turkiye.


"Bagi saya, walaupun bahasa kita tidak difahami oleh orang-orang Israel atau negara luar, tapi firasat saya kuat mengatakan mungkin nilai agama Islam yang dipamerkan dalam filem ini menjadikan karya ini mendapat perhatian.

"Selain itu, saya percaya orang luar begitu tertarik dengan budaya yang ditonjolkan dalam filem ini seperti busana yang digayakan oleh barisan pelakon," ujar pengarah filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan', Syamsul Yusof.

Bapa kepada dua cahaya mata itu menyifatkan pendekatan agama Islam yang ditonjolkan berjaya membuka mata penonton dunia sehingga menjadikan filem epik Melayu itu mendapat perhatian utama di beberapa buah negara melalui tayangan di platform penstriman popular, Netflix.

Klik untuk gambar besar



Kata Syamsul, lebih mengejutkan dia tidak menyangka apabila filem 'Mat Kilau' berjaya meraih populariti di Netflix Israel apabila menduduki carta nombor empat dalam Top 10 filem paling ramai ditonton di negara itu setakat semalam.

Sejak filem terbabit ditayangkan di platform Netflix sejak 16 September lalu, Syamsul berkata, ia tidak henti dihujani pelbagai ucapan daripada penonton luar negara yang menyaksikan filem terbabit.

"Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelakon dan tepukan harus diberikan kepada mereka. Filem ini mendapat maklum balas yang cukup luar biasa sejak pelancaran trailer filem ini lagi.



"Saya tak sangka filem ini berjaya sehingga ke tahap ini apabila sewaktu tayangan di Malaysia juga sudah tular, kemudian di platform Netflix juga menjadi bualan ramai. Bukan saja di Malaysia, malah di luar negara.

"Sehingga hari ini saya tidak henti dapat mesej peribadi di Instagram daripada penonton luar negara. Ada yang dari Australia, Jerman dan ramai lagi yang menghantar mesej tapi saya tidak sempat membalasnya.

"Insya-Allah saya akan terus perbaiki dan menghasilkan filem yang lebih baik. Doakan semoga filem saya yang akan datang berjalan dengan lancar," katanya.


Menerusi laporan yang dikeluarkan portal FlixPatrol, 'Mat Kilau' bukan hanya menduduki carta popular di Israel, malah berjaya meraih kedudukan nombor empat dalam senarai Top 10 filem paling popular di Netflix seperti Jamaica, Oman, Maghribi, Nigeria dan Romania.

Selain itu, negara lain seperti Bahamas, Arab Saudi, Korea Selatan, Cyprus, Finland, Greece, Hong Kong, Norway, Portugal, Filipina, Peru dan beberapa buah negara yang lain menduduki senarai carta Top 10 filem popular di Netflix.

Sejak ditayangkan Jun lalu, 'Mat Kilau' sudah pun meraih kutipan lebih RM97 juta sekali gus meletakkan 'Mat Kilau' menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini mengatasi 'Avengers: End Game' sebanyak RM87 juta.

Filem epik terhangat ini dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As'ari, Datuk Rahim Razali dan Datuk Jalaluddin Hassan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: