23 September 2022

"SAYA MAHU LEBIH FOKUS KEPADA KESIHATAN..." - HAERIYANTO ENGGAN TERLALU BERGANTUNG PADA BIDANG SENI



"Saya sudah bersedia dan tidak mahu terlalu bergantung sangat pada bidang seni. Saya mahu lebih fokus kepada kesihatan yang mana saya masih perlu pulihkan kekuatan fizikal. Secara fizikal, memang makin pulih, wajah saya tak senget, suara pun okey, tapi tangan kiri saja masih lemah. Jadi, kalau saya berjalan, adalah nampak sedikit cacat. Saya memang tak boleh lakukan babak-babak lasak.


"Disebabkan itu saya akur kalau tidak ramai produksi panggil saya. Tapi alhamdulillah, KL Motion tetap ingat saya dan bakal menjalani penggambaran untuk drama mereka Kampung People 3 pada minggu hadapan," kata pelakon Haeriyanto Hassan, 51, yang reda sekiranya selepas ini tidak lagi mendapat tawaran lakonan yang banyak selepas diserang angin ahmar ringan sekitar Februari lalu.

Meskipun kesihatannya semakin baik, Haeriyanto akur jika keadaannya tidak mengizinkan sesetengah produksi untuk mengambilnya berlakon. Haeriyanto juga menganggap penggambaran drama itu sebagai percubaannya melihat kemampuan diri sekarang dan tahap ketahanannya bagaimana.

"Inilah masa untuk saya cuba lihat tahap stamina untuk berada di set lakonan. Lagipun, penggambaran kali ini agak menyenangkan sedikit kerana dekat dengan rumah. Berdasarkan kemampuan saya menjalaninya nanti, barulah tengok kalau boleh kembali rancak terima tawaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Haeriyanto akui berat badannya turun agak mendadak daripada 85 kilogram kepada 69 kilogram selepas diserang penyakit itu sebelum ini. Bahkan, dia sebenarnya tidak tahu dia menghidap darah tinggi.

"Saya cuma tahu ada penyakit itu selepas diserang strok. Saya sendiri sebelum ini pun memang tidak pernah mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara formal. Sepanjang di hospital, selera makan saya menurun sehingga berat badan pun susut. Daripada sudut positifnya, baguslah kerana kalau tak sakit memang nak diet itu susah.

"Saya berterima kasih kepada keluarga kerana mereka juga bantuan kesihatan dan kewangan datang tepat pada masanya sepanjang rawatan. Ada juga rasa 'down' tapi kebanyakan masa saya memang kuatkan mental untuk sembuh," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: