23 September 2022

KAKA AZRAFF BANGGA WAJAHNYA PULA HIASI PAPAN IKLAN TIMES SQUARE, NEW YORK



"Rasa macam tak percaya sangat. Bila melihat pencapaian itu, ia membakar lagi semangat saya untuk memberikan lebih usaha dalam kerjaya seni. Saya juga pernah cakap dengan suami, perihal beginilah yang sebenarnya membuatkan saya enggan mengalah.


"Saya bukan nak banggakan diri semata-mata, tapi banggakan satu Malaysia," tutur penyanyi Kaka Azraff, 33, apabila wajahnya terpampang menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) sempena kempen EQUAL oleh Spotify, semalam.

Semangat semakin berkobar-kobar selepas wajahnya terpampang menghiasi papan iklan gergasi berkenaan, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff berkata, impian itulah diidamkannya sejak melihat rakan seperjuangan seperti Yuna dan Dolla turut menghiasi papan iklan ikonik terbabit sebelum ini.

Baru melancarkan lagu 'Hilang', Kaka akui tidak pernah berhenti berangan dapat membuat persembahan di AS suatu hari nanti. Cita-cita besarnya adalah menyanyikan lagu Melayu di hadapan lokasi ikonik itu.

Klik untuk gambar besar



"Berangan itu percuma dan tidak salah. Siapa tahu, suatu hari nanti akan dapat peluang untuk beraksi di sana. Kalau artis dari Asia lain pun sudah merealisasikannya, pasti kita boleh juga.

"Saya bayangkan saya akan nyanyikan lagu-lagu sendiri dalam bahasa Melayu. Pastinya satu kebanggaan dapat berkongsi bahasa kita di depan khalayak di sana," katanya.

Meskipun sudah kembali aktif semula dalam kerjaya seni, namun kata ibu kepada dua cahaya mata ini, dia pada masa sama pentingkan keseimbangan antara kerja dan masa peribadi bersama keluarga.



"Sekarang pasukan saya Warner Music Malaysia rancak promosikan Hilang. Sambutannya agak perlahan sedikit berbanding lagu terdahulu tapi harapnya mampu ke pentas-pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.

"Saya berazam terus rancakkan karier muzik sambil meluangkan masa sebaiknya bersama dua anak lelaki saya. Alhamdulillah, sesibuk mana pun sekarang, masa saya bersama mereka masih cukup," ujarnya.

Selain Kaka, wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Aina Abdul, Dolla, Aisha Retno, dan Vanessa Reynauld juga pernah terpampang di papan iklan gergasi terbabit.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: