Pada pagi Jumaat lalu, pendakwah bebas Asni Mansor telah muncul menerusi segmen Morning Morning Suria bagi menggantikan Pencetus Ummah (PU) Azman. Bagaimanapun, kemunculan Asni Mansor itu hangat diperkatakan di media sosial apabila ramai bertanya tentang keberadaan PU Azman yang sepatutnya mengendalikan segmen tersebut di Suria FM.
Rata-rata mula membuat spekulasi ketiadaan PU Azman atau lebih mesra disapa Cik Man disebabkan desas-desus yang mengaitkan dirinya dengan satu kes jenayah yang sedang hebat diperkatakan ketika ini.
Enggan ia terus jadi persoalan, Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin bagaimanapun meminta pendengar menghentikan spekulasi yang tular berhubung perkara itu termasuk membuat sebarang andaian berkenaan segmen tersebut.
Kata DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, ketika ini pihak stesen menjemput beberapa pendakwah bagi mengisi kekosongan segmen itu yang dikendalikan oleh Ajak, Shuib dan Suraya pada pukul 8 hingga 9 pagi.
Klik untuk ganbar besar
"Buat masa ini, pihak Suria FM memang mengetengahkan atau menjemput beberapa ustaz atau ustazah untuk ke udara setiap Jumaat kerana kita tidak mahu segmen tersebut kosong.
"Pengisian program kena terus berjalan kerana segmen tersebut memiliki pengikutnya yang tersendiri setiap Jumaat," jelasnya yang dieptik sebagai berkata kepada mStar.
Dalam pada itu, DJ Lin berkata, segmen berkenaan adalah laluan untuk para pendengar bertanyakan sebarang kemusykilan tentang agama yang akan dijawab oleh ustaz atau ustazah jemputan.
Jelasnya lagi, segmen itu juga adalah sebagai tanggungjawab sosial Suria FM yang perlu diteruskan apatah lagi ia mendapat sambutan daripada pendengar Suria FM.
"Segmen itu memang kita beri laluan kepada ustaz atau ustazah berkaliber untuk menjawab sebarang soalan atau kemusykilan berkaitan keagamaan dalam kalangan pendengar.
"Jadi kita tetap teruskan dan mengundang beberapa tetamu jemputan supaya setiap pagi Jumaat pendengar mendapat manfaat daripada perkongsian pendakwah yang diundang ke konti radio.
"Minggu ini kita ada ustazah Asni Mansor, minggu depan mungkin ada ustaz atau ustazah lain untuk membantu masalah pendengar tentang agama Islam," ujarnya.
Mengenai ketiadaan PU Azman mengendalikan segmen itu, DJ lin berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
________________________
No comments:
Post a Comment