"Ini adalah hadiah paling bermakna sempena hari jadi saya tahun ini. Mula-mula suami suruh pilih, set barangan kemas atau barangan jenama Louis Vuitton (LV) memandangkan saya memang peminat LV. Kalau ditawarkan beg jenama lain pun saya tak mahu. Tapi saya cakap dengan suami, tak mahu beg tangan sebab sudah ada banyak, penuh almari. Cukup-cukuplah.
"Sekarang saya nak buat pelaburan demi masa depan. Saya nak jadi pengumpul emas. Andai kata suatu hari berlaku sesuatu pada kita, dengan pandemik selama dua tahun yang membuatkan ramai terjejas seluruh dunia membuatkan saya mahu menyimpan. Saya kini perlahan-lahan menyimpan duit dan emas. Kita tahu walau macam mana pun berlaku pada ekonomi, emas tetap ada nilainya.
"Kalau saya pun tak senang hari ini, nak jual beg mungkin tiada nilai. Jadi lebih baik saya laburkan kepada sesuatu yang lebih bernilai, ada manfaat pada saya di kemudian hari," ujar penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah yang mendedahkan video tular keberadaannya di sebuah kedai barangan kemas dan berbelanja lebih RM100,000 adalah hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-47 pada Khamis, 22 September.
Lebih memilih emas berbanding bag tangan berjenama kesukaannya, Ifa berkata dia mahu bersiap sedia untuk masa depan dengan membuat pelaburan yang bermanfaat. Ifa berkata, barangan kemas pelbagai jenis seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin itu adalah pemberian suaminya, Mohd Yani Abdul Rahman.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, ditanya pula mengenai dakwaan menunjuk-nunjuk susulan harganya yang mencecah ratusan ribu ringgit, Ifa berkata, dia hanya akan memakainya mengikut kesesuaian majlis.
"Saya bukan nak pakai hari-hari, ikut majlislah. Samalah macam kalung 'love' besar yang saya beli dulu. Yang lain-lainnya kecil sahaja untuk kegunaan harian.
"Cuma saya ada kunjungi beberapa buah kedai emas lain, tapi inilah antara rekaan yang dipilih suami untuk saya. Simbolik cintanya (rekaan berbentuk 'love'). Suami kalau boleh nak satu set, tapi hanya yang ini ada set.
"Bila pakai yang begini (emas bersaiz besar) memang akan ditemani pengawal peribadi dalam empat atau lima orang. Bergantung kepada majlis yang dihadiri. Malah habis sahaja majlis, saya akan buka dan simpan," katanya.
Sementara itu, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, juga bercita-cita untuk membuka perniagaan barangan kemas dan sedang belajar untuk menguruskan perniagaan itu.
"Melihat beberapa selebriti lain yang membuka bisnes barangan kemas membuatkan saya juga berminat untuk membukanya. Insya-Allah memang sudah ada dalam perancangan tapi nak buka kedai emas ini perlu belajar selok-beloknya terlebih dahulu," tuturnya.
________________________
No comments:
Post a Comment