17 October 2022

AIMAN TINO MAKIN PULIH - IBU SYAK JANGKITAN KUMAN PADA PARU-PARU DISEBABKAN TABIAT HISAP VAPE, MINTA BERUBAH



Selepas tiga hari dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, difahamkan akibat jangkitan kuman pada paru-paru, ibu kepada penyanyi Aiman Tino memaklumkan keadaan anaknya itu kini semakin pulih.


Hazelina atau Riena, 46, berkata, masalah kesihatan Aiman disyaki berpunca daripada penggunaan rokok elektronik atau vape selain tabiat berkongsi alatan tersebut bersama rakan-rakannya.

"Alhamdulillah keadaan Aiman semakin baik. Insya Allah akan dibenarkan keluar hospital hari ini (Isnin). Berdasarkan pemeriksaan, terdapat kuman pada bahagian paru-paru. Kami syak ia berpunca daripada vape. Aiman pun sering kongsi alat tersebut dengan rakan-rakan. Kita pun tak tahu jika rakannya itu ada penyakit lain dan sebagainya," kata ibu Aiman.

Riena memberitahu sepanjang berada di hospital, Aiman menerima rawatan antibiotik bagi menghilangkan jangkitan kuman berkenaan. Malah dia juga berharap agar Aiman akan meninggalkan tabiat menghisap rokok elektronik atau sebarang alatan yang boleh menbahayakan kesihatan.

"Sekarang ini Aiman perlu berehat di rumah terlebih dahulu. Semoga keadaannya akan kembali pulih dan tiada sebarang masalah serius. Saya juga dah pesan suapaya tak lagi hisap vape sebab takut nanti ada masalah lain yang menanti di masa akan datang," tutur ibu Aiman yang sebelum ini memaklumkan anaknya dimasukkan ke hospital menerusi hantaran di Instagram pada Ahad.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, bapa Aiman iaitu Yusri Ishak turut mengulas mengenai kesihatan anaknya. Aiman yang dimasukkan ke pusat perubatan, kelmarin turut mengadu mengalami sakit di bahagian kiri dada setiap kali batuk.

Aiman mengalami batuk sejak lebih tiga minggu lalu. Kelmarin, doktor memaklumkan paru-paru Aiman dijangkiti kuman menyebabkan dia ditahan di wad.

"Jangkitan kuman dalam paru-parunya juga sudah semakin pulih. Cuma dia masih lagi batuk dan setiap kali batuk, dia mengadu sakit di bahagian kiri dada.

"Kalau berdasarkan maklumat doktor, ia berkemungkinan besar berkaitan dengan otot sebab bila kita batuk, otot akan turut terkesan. Apapun, mohon doakan kesihatan Aiman dan kalau semuanya okay, dia akan dibenarkan pulang hari ini," jelas bapa Aiman.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: