23 October 2022

BAPA MENINGGAL DUNIA - DINA NADZIR TAK HADIR PERSEMBAHAN MINGGU KE-6 GV9 MALAM INI



Takziah diucapkan kepada salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Dina Nadzir atas pemergian bapanya iaitu Mohd Nadzir Gulam Kadir, 64, yang meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru akibat masalah paru-paru, jam 8.10 pagi hari ini.


Pengurus Dina, Mickey Sharum ketika dihubungi berkata, Allahyarham yang turut menghidap kanser tekak dikejarkan ke pusat perubatan itu pada Khamis lalu akibat masalah paru-paru.

"Arwah memang ada penyakit kanser. Baru-baru ini dia mengalami kegagalan paru-paru dan dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu. Ketika dirawat di situ, Dina sempat menziarahi bapanya yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kelmarin. Mereka sempat berbual dan bergurau kerana bapanya masih sedar.

"Kemudian Dina terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana perlu menghadiri sesi 'sound check' semalam untuk program minggu keenam Gegar Vaganza 9 (GV9) yang berlangsung malam ini, namun ketika sesi latihan saya mendapat perkhabaran bapanya sedang tenat.

Klik untuk gambar besar



"Ketika maklumkan kepadanya, Dina meraung dan terduduk di atas pentas kerana dia baru saja selesai membuat 'sound check'. Kemudian saya membantunya membeli tiket penerbangan ke Johor Bahru dan syukur Dina sempat bertemu bapanya semalam walaupun bapanya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan," jelasnya.

Mickey turut memberitahu Dina bersama ahli keluarga lain berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir. Menurut Mickey lagi, jenazah bapa Dina selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Johor Bahru selepas Zohor, hari ini.

Ditanya adakah Dina akan membuat persembahan pada minggu keenam program GV9 malam ini, Mickey memaklumkan penyanyi itu tidak dapat menghadirkan diri, susulan berita sedih itu.

"Semestinya Dina tidak akan membuat persembahan malam ini. Sepatutnya malam ini Dina akan menyampaikan lagu berjudul 'Januari' nyanyian asal Glen Fredly," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: