31 October 2022

BERSYUKUR MENANG ANUGERAH DAPAT SEBUAH KERETA - FAUZIAH NAWI DEDAH KERETA TERBAKAR EMPAT TAHUN LALU



"50 tahun lalu saya masuk dalam industri ini, saya tak pernah terfikir tentang memenangi anugerah ini. Malam ini saya berbesar hati untuk menerima pengiktirafan ini," katanya.


"Syukur Alhamdulillah, selain kejayaan menerima trofi ini, nampaknya Allah juga sudah memakbulkan doa saya yang ingin memiliki sebuah kereta. Sekarang, saya memang tiada kereta.

"Saya nak membeli kereta baharu, rasanya tidak mampu. Apa lagi, pada usia saya sekarang pastinya sudah tidak boleh membuat pinjaman kewangan dengan pihak bank.

"Jadi, kini saya amat bersyukur dengan rezeki ini," tutur seniwati Fauziah Nawi, 69, yang teruja dan bersyukur apabila hasratnya ingin memiliki kereta dimakbulkan Allah selepas dinobatkan Tokoh Seri Angkasa 2022 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022), di sini, malam tadi.

Ujar Fauziah, ia umpama kejutan amat bermakna baginya yang kini sudah tidak mempunyai kenderaan sendiri dan untuk membeli pula, dia tidak mampu. Ditambah lagi, faktor usia yang tidak sesuai membuat pinjaman kewangan.

Klik untuk gambar besar



Pada acara gilang-gemilang itu, Fauziah telah merangkul trofi Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022, sekaligus menerima hadiah sebuah kereta Mitsubishi Xpander yang bernilai RM100,000 dan wang tunai RM10,000, yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Fauziah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas pembabitannya dalam industri hiburan, Fauziah berkata sehingga kini, sudah 50 tahun dia menyumbang keringat dalam karier seni dan segala peluang itu diperolehnya bermula dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"RTM banyak memberi peluang kepada saya dalam mempertaruhkan bakat untuk karier seni ini. Saya amat berterima kasih dengan RTM. Malah, harapan saya agar kejayaan ini menjadi pemangkin semangat kepada penggiat seni lain.



"Teruskan usaha menjadi penggiat seni yang berjaya dengan bakat yang dianugerahkan Allah. Buatlah terbaik dalam kerjaya yang diminati ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan komited," katanya.

Dalam pada itu, Fauziah turut mendedahkan sudah empat tahun dia menggunakan pengangkutan awam atau bantuan ahli keluarga untuk ke lokasi penggambaran selepas kenderaan miliknya terbakar.

Fauziah berkata, kereta jenis Proton Waja itu terbakar di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur akibat mengalami masalah fius dan sejak itu dia tidak membeli kenderaan baharu.

"Ketika itu, kereta berkenaan dipakai oleh Allahyarham anak saya iaitu Pit kerana keretanya rosak. Hendak dijadikan cerita, kereta itu dipinjamkan kepada mak mentuanya sebelum ia terbakar di Jalan Sultan Islam akibat masalah fius," jelasnya.



Tambah pelakon veteran itu, dia tidak membeli kereta baharu selepas kejadian tersebut kerana pada usianya sekarang sukar untuk mendapatkan pinjaman bank. Malah katanya, dia turut mencuba nasib dengan menyertai peraduan cabutan bertuah di program Ekspresi@Finas pada 23 Oktober lalu.

"Baru-baru ini saya ada berkunjung ke acara yang dianjurkan Finas dan kebetulan mereka menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta. Saya beli barangan bernilai RM35 untuk melayakkan diri dalam cabutan bertuah berkenaan namun akur tiada rezeki ketika itu.

"Hendak beli kereta baru memang susah apatah lagi pada usia sekarang mana ada bank yang mahu beri pinjaman dan terpaksa menggunakan Grab untuk ke mana-mana," ujarnya.

Sementara itu, Fauziah berkata, dengan kenderaan baharu itu akan memudahkan urusannya ke tempat kerja selain melakukan pelbagai urusan lain.

"Dengan hadiah yang diterima ini, Insya Allah ramai yang boleh memandu kereta saya malah cucu pun sudah pandai memandu. Alhamdulillah banyak perkara baik yang sering berlaku dan setiap apa yang saya mahu pasti Allah hantar. Namun kemenangan kereta ini memang saya benar-benar tak sangka," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: