27 October 2022

DIISYTIHAR MUFLIS - MAN KIDAL REDA: "RASANYA TAHUN DEPAN SAYA MALU NAK AMBIL BANTUAN SEBAGAI ASNAF"



Berdepan ujian lagi!

Itulah yang dihadapi oleh pemain gitar terkenal iaitu Man Kidal apabila dia diisytiharkan muflis minggu lalu kerana kegagalan membayar pinjaman kereta.


Jelas Man lagi, perkara ini baru diketahui dan ia membuatkan dirinya panik, lebih-lebih lagi dia akan menjayakan Konsert Kolaboraci Three To Rock di Jakarta, Indonesia pada 25 November ini.

"Memang tak sangka ia akan berlaku. Untuk itu, saya kena buat surat kepada pihak berkenaan menyatakan komitmen akan bayar setiap bulan seperti yang ditetapkan.

"Apa yang berlaku adalah kesilapan sendiri dan saya kena reda. Memang ujian saya bertimpa-timpa. Sebelum ini saya dijangkiti C0V1D, isteri menjalani pembedahan dan kemudian bergelar asnaf.

"Rasanya tahun depan saya malu nak ambil bantuan sebagai asnaf. Alhamdulillah, keadaan dah okey. Saya tak sepatutnya ambil lagi," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Klik untuk gambar besar



Konsert anjuran Aci Gold itu menggabungkan rockers dari Indonesia, Malaysia dan Singapura yang akan berkongsi pentas di SMESCO Convention Hall, Jakarta, Indonesia.

Man Kidal yang juga anggota Search dan Lefthanded, Lola (dram - XPDC) dan Cliff Umar (penyanyi - Project Pistol) akan mewakili Malaysia dalam konsert ini. Pada masa sama, dia bersyukur kerana masih dikurniakan rezeki menerusi persembahan dan konsert.

"Kumpulan Search pun bantu saya dengan persembahan sebelum ini. Dapatlah 'cover' balik sikit demi sikit. Persembahan lain pun dah makin banyak sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Man dan Nash serta kumpulan Lefthanded akan beraksi dalam Konsert Jelajah Rasa Ramli Sarip di Zepp KL, Sabtu ini.

"Lefthanded 'membeli' konsert ini dari Datuk Ramli, namun tetap menampilkan dia sebagai artis utama, manakala kami akan beraksi dengan empat lagu.

"Ia sebagai penghormatan terhadap jasa beliau kepada kami selama ini. Pembabitan Lefthanded dalam penganjuran Konsert Jelajah Rasa juga untuk profil kami. Tahun depan kami pula akan buat konsert jelajah dan akan bawa bersama Ramli dalam persembahan," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: