Umum sedia maklum mengenai penyanyi Dina Nadzir yang baharu sahaja kehilangan bapa pada Ahad lalu. Susulan itu, Dina tidak dapat membuat persembahan di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bagi minggu keenam.
Pada pertandingan tersebut, Dina yang sepatutnya menyampaikan lagu nyanyian asal Glenn Fredly berjudul 'Januari' itu telah diganti tempatnya oleh tiga sahabat wanita yang juga peserta GV9 iaitu Tom, Shila Amzah dan Jaclyn Victor dimana mereka sepakat menyampaikan lagu berkenaan.
Terbaharu, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 37, yang kelihatan sebak menonton rakan-rakan menggantikannya dengan menyanyikan lagu berkenaan.
Menerusi video berkenaan, Dina yang mengalirkan air mata itu dilihat memeluk seorang wanita yang berdiri di sisinya. Air matanya itu bukan sahaja terharu dengan pengorbanan rakan-rakannya tetapi lirik lagu berkenaan turut menyentuh hati penyanyi itu.
Klik untuk gambar besar
Dina ketika dihubungi memberitahu, meskipun tidak muncul di pentas GV minggu lalu namun kata-kata semangat terus menjadi penguat untuk menyambung perjuangan di pentas itu.
"Sebak hilang bapa belum reda lagi. Bila salah seorang sahabat saya tunjuk video persembahan Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Tom menyanyikan lagu Januari menggantikan saya pada malam itu, tak dapat saya tahan air mata ini.
"Sungguh saya terharu melihat kesanggupan mereka untuk menyanyikan lagu Januari dengan latihan di saat akhir. Saya amat hargai dan berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan dan juga rakyat Malaysia yang mendoakan arwah bapa pada malam itu.
"Insya Allah saya akan kembali ke pentas GV9. Doakan saya kuat hadapi ujian kehilangan ini," kata Dina dalam nada sebak.
Kongsi Dina lagi, dia juga terkejut dengan kehadiran sahabatnya, Jaclyn (Jac) yang sanggup mengambil penerbangan pertama pada hari berikutnya selepas mendapat berita pemergian bapanya.
"Saya tidak tahu kebaikan apa yang saya pernah lakukan di dunia ini sehingga Allah SWT mengurniakan orang sekeliling yang tak henti memberi semangat agar saya terus terus kuat menjalani hari-hari mendatang tanpa bapa di sisi.
"Semalam, saya dikejutkan dengan kehadiran Jac di rumah. Bangun pagi, buka mata saya nampak Jac di rumah. Saya terkejut memandangkan dia baru selesai buat persembahan di pentas GV9, malam sebelumnya.
"Sungguh saya sebak dan terharu melihat kesanggupan Jac terbang ke Johor Bahru untuk memastikan saya berada dalam keadaan baik. Saya amat hargai kebaikannya termasuk juga rakan-rakan lain di GV9," tuturnya.
Melihat pada ruangan komen pula, pengguna laman sosial yang sedih menonton reaksi Dina yang juga penyampai radio Sinar FM itu turut melahirkan rasa simpati atas pemergian bapanya dan mengucapkan takziah.
"Bila orang kita sayang pergi, separuh nyawa kita ikut sekali. Takziah Dina." - "Saya dah rasa kehilangan seorang bernama ayah, jadi saya faham. Harapnya Dina kuat dan tabah." - "Semoga Dina dan seluruh keluarga terus diberi ketabahan," antara komen-komen pengguna sosial.
Untuk makluman, Bapa Dina, Mohd Nadzir Gulam Kadir meninggal dunia pada usia 64 tahun akibat masalah paru-paru di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru dan penyanyi itu berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.
________________________
No comments:
Post a Comment