22 October 2022

FINAS ZIARAH PELAKON VETERAN, ROSLAN SALEH TANDA PRIHATIN



Umum sedia maklum mengenai keadaan pelakon veteran, Roslan Saleh, 65, yang hilang daya penglihatan dan kini tidak boleh berjalan akibat penyakit kencing manis kronik yang dihidapi.


Penderitaan Roslan atau mesra disapa Pak Lan itu telah mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang berkunjung ke kediaman pelakon itu di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Md Nasir berkata, kunjungan itu sebagai tanda prihatin FINAS terhadap Roslan yang banyak membintangi drama dan filem tempatan. Ditanya mengenai perkembangan kesihatan Roslan, Md Nasir memaklumkan, tahap kesihatan pelakon itu merosot sejak dua tahun lalu, selepas hilang daya penglihatan.

"Alhamdulillah, saya dan pegawai FINAS berpeluang menziarahi Roslan di Melaka, baru-baru ini. Roslan seronok dan teruja dapat berjumpa kami. Riak ceria dan riang jelas terpancar pada wajahnya apabila kami berjumpa dengannya.

"Malah, Roslan menyebut nama saya, ini membuatkan saya terharu. Reaksi itu menunjukkan dia benar-benar menghargai kunjungan kami. Jadi, saya ambil peluang untuk meluangkan masa dengan mengurut belakang badannya dan berkongsi cerita.

"Roslan masih memerlukan rawatan. Dia pergi ke klinik setiap dua minggu untuk mengambil ubat dan sebagainya. Sebelum ini, doktor mencadangkan matanya dibutakan kerana ada gangguan pada urat saraf mata hingga menyebabkan dia mengalami sakit kepala atau migrain yang teruk. Saya difahamkan, sebelum ini, penglihatan Roslan agak kabur," ujarnya.

Tambah Md Nasir, Roslan berkongsi keinginannya untuk kembali berlakon, namun, disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia terpaksa akur berehat di rumah. Dalam pada itu, Md Nasir turut membeli beberapa produk yang dijual oleh keluarga Roslan sebagai tanda sokongan.

"Roslan beritahu, dia mahu cuba berlakon, tetapi keadaannya tidak mengizinkan, apatah lagi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Jadi, dia reda dan terima hakikat bahawa pada penghujung hayatnya, dia buta dan tidak mampu lagi berlakon.

Klik untuk gambar besar



"Disebabkan masalah kesihatannya, Roslan tidak lagi turun padang untuk menjual daging dendeng. Tugas itu diambil alih anak bongsunya yang berusia 20 tahun. Roslan hanya berehat di katil dan keluar rumah apabila perlu sahaja.

"Saya beli dan agihkan kepada delegasi FINAS yang hadir pada kunjungan itu. Saya juga meminta mereka membantu mempromosikan daging dendeng yang dijual Roslan. Kami di FINAS mendoakan semoga Roslan diberi kesembuhan segera dan dapat menjalankan aktiviti harian seperti sedia kala," katanya kepada Berita Harian.

Untuk makluman, Roslan membintangi banyak drama dan filem popular antaranya 'Sembilu 2', 'Gerak Khas' The 'Movie 2', 'Munafik 2', 'Anak Perjanjian Syaitan' dan 'Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda'.

Roslan tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis dan tekanan darah rendah sejak enam tahun lalu.Roslan kemudian meneruskan perniagaan keluarganya iaitu Daging Dendeng Pak Lan yang dijual secara kecil-kecilan di Alor Gajah.

Sementara itu, Md Nasir berkata, beliau akan menziarahi bintang legenda, Datuk Seri Maria Menado di kediamannya di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 1 November ini.

"Maria tidak mengalami masalah kesihatan, tetapi kami mahu mengambil peluang ini untuk menghargai dirinya sebagai seniwati tanah air. Lagipun, kami sedang menjayakan dokumentari mengenai bintang veteran dan salah seorang yang mahu ditampilkan adalah Maria. Kalau mahu diikutkan, kunjungan itu sudah lama dirancang, namun, disebabkan pandemik C0V1D, ia ditangguhkan," tuturnya.

Dianggap Primadona filem Melayu klasik, Maria pernah diangkat sebagai Wanita Terjelita Malaya oleh Times Magazine pada 1957. Seniwati itu juga pernah berganding dengan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Penghidupan. Antara filem yang mengangkat nama Maria adalah Sultan Mahmood Mangkat Dijulang yang ditayangkan pada 1961.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: