01 October 2022

ISU PENAMPILAN SEKSI - DOLLA MOHON MAAF, AKUI TERLALU FOKUS PERSEMBAHAN SAMPAI TERLEPAS PANDANG PAKAIAN



"Itu pertama kali kami dijemput untuk acara berkenaan (Good Vibes Weekender). Mungkin terlalu fokus kepada persembahan membuatkan kami terlepas pandang hal lain termasuk pakaian. Mewakili Dolla, kami akui kesilapan tersebut.


"Kami mohon maaf dan akan memperbaiki untuk jadi lebih baik di masa akan datang," itulah kata kumpulan Dolla yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas dikecam hebat oleh netizen gara-gara berpakaian seksi ketika menjayakan satu persembahan pentas pada Good Vibes Weekender, baru-baru ini.

Dolla ditemui ketika pelancaran lagu duet terbaharu mereka bersama Naim Daniel berjudul 'Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat'.

Salah seorang ahli kumpulan yang mewakili Dolla iaitu Sabronzo, mengakui terlepas pandang berhubung pemilihan pakaian mereka sehingga ia menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

"Kami akan mencuba menjadi yang lebih baik selepas ini. Impak selepas persembahan dari segi maklum balas, kami nak terus pandang ke depan dan menambah baik.

"Sebenarnya kami lebih risaukan persembahan kerana ia peluang pertama kami beraksi pada acara itu. Jadi, banyak lagi eleman yang nak fokus dan terlepas pandang," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Sabronzo lagi, dia bersama tiga anggota lain terdiri daripada Tabby, Angel dan Syasya akan lebih berhati-hati selepas ini agar insiden sama tidak berulang.

"Kami akan lebih berhati-hati selepas ini. Selalunya untuk setiap persembahan, kami bekerja dengan penata gaya, syarikat pengurusan dan beberapa pihak lain. Apa yang berlaku juga menjadi pengajaran kepada kami selepas ini.

"Kami cuba yang terbaik untuk apa saja selepas ini. Malah, kami juga berharap dapat diperbaiki selepas ini. Sekali lagi kami minta maaf atas apa yang berlaku," tuturnya.

Pada persembahan Good Vibes Weekender minggu lalu, Dolla dikritik kerana didakwa terlalu berani tampil dengan gaya mencolok mata.

Malah imej mereka juga dikatakan lebih seksi berbanding penyanyi dari Korea Selatan, CL atau nama sebenarnya Lee Chae-rin daripada kumpulan 2NE1, yang turut hadir di lokasi yang sama.

Terdahulu, Dolla dalam satu kenyataan memaklumkan mereka menghormati keputusan syarikat pengurusan iaitu Universal Music Malaysia yang mahu mengeluarkan kenyataan secara rasmi daripada pihak mereka sendiri.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: