"Ketika kami buat video umum penceraian sebelum ini pun saya pernah kata masih sayangkan dia. Saya mahu lihat dia gembira dan dalam hati ini ada perasaan sayang dan harap boleh buat Ashira kembali bahagia.
"Namun Allah telah tentukan jodoh kami tak panjang... Memang terkejut apabila dapat tahu dia sudah membawa hati dengan orang lain. Saya pun tak boleh cakap banyak mengenainya kerana takut mengganggu kebahagian orang lain.
"Kita hanya merancang, Allah tentukan segala-galanya," jelas ahli kumpulan Indigo, Bad yang mengakui kelu apabila mendapat perkhabaran bekas isterinya, penyanyi Ashira sudah bertemu pengganti.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, berkata, meskipun ikatan perkahwinan di antaranya dan Ashira sudah terlerai, namun perasaan sayang terhadap penyanyi itu masih ada malah berharap mereka dapat kembali bersama sekiranya diberi peluang.
Klik untuk gambar besar
Sebelum ini, Bad ada membuat satu hantaran di laman Instagram miliknya dimana dia meluahkan rasa kecewa dengan berita tersebut. Dalam pada itu, Bad berkata, meskipun hatinya masih belum pulih daripada penceraian mereka namun dia reda dengan ketentuan Allah selain mendoakan kebahagiaan bekas isteri.
"Hati ini pun masih belum pulih lagi sepenuhnya. Saya sentiasa berdoa kepada Allah untuk kuatkan diri dan perkongsian saya di media sosial itu hanya sekadar meluakan apa yang dirasai ketika ini.
"Takut juga jika ada yang salah anggap... Sekarang ini saya berusaha meneruskan kehidupan dan pada masa sama saya sentiasa mendoakan Ashira bahagia," ujarnya.
Bercakap soal jodoh, Bad tidak berharap mana-mana wanita untuk jatuh hati kepadanya memandangkan keadaan dirinya yang kini berkerusi roda akibat diabetes. Kata Bad, dia tidak terfikir untuk mencari pengganti kerana sedar keadaan dirinya selain tidak mahu menyusahkan orang lain.
"Terus terang saya katakan, saya tidak mahu susahkan orang lain dengan keadaan diri saya sekarang. Jadi memang tak terfikir untuk kembali bertemu jodoh. Rasanya mana-mana wanita pun akan fikir dua tiga kali melihat keadaan saya. Semuanya terbatas," tuturnya.
Sementara itu, Bad memberitahu, dia kini bekerja di sebuah bengkel di Ampang sejak Januari lalu ekoran sudah lama tidak menerima sebarang undangan nyanyian.
Untuk makluman, Bad dan Ashira melangsungkan perkahwinan pada 11 Mac tahun lalu, namun pasangan itu mengumumkan penceraian mereka pada Jun lalu.
Bad yang bergelar bapa tunggal sejak 2010 mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Rayyan, 13 dan Rania, 12 tahun. Manakala Ashira yang berstatus ibu tunggal sejak 2015 memiliki seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi yang kini berusia 16 tahun.
________________________
No comments:
Post a Comment