01 October 2022

NASHA AZIZ PEGANG PADA PRINSIP SEPANJANG 30 TAHUN JADI MODEL: "PERGI CARI GAMBAR SAYA BERBIKINI, ADA TAK?"



Pelakon dan model, Nasha Aziz masih lagi kekal relevan di pentas peragaan ketika menghadiri pertunjukan fesyen Muslimah tempatan, Munawwareen yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Khamis, meskipun sudah 30 tahun dalam dunia model. Pelakon ini turut dipilih menjadi muse kepada jenama Muslimah tersebut.


Berkongsi antara pengalaman 30 tahun sebagai model, Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 51, mendedahkan dia pernah melarikan diri dari sebuah uji bakat iklan jenama antarabangsa kerana perlu berbikini kerana melanggar prinsipnya sebagai model.

"Ketika itu umur saya baru 19 tahun dan saya dijemput untuk menghadiri satu sesi uji bakat jenama antarabangsa yang popular. Saya lihat semua model di situ memakai bikini kerana konsep diberikan adalah tepi pantai. Saya pun berlari keluar dari bilik uji bakat dan memberitahu tidak mahu menjadi model," katanya.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, Nasha berkata sudah tertulis rezekinya apabila dia tetap diberikan peluang untuk beraksi serta dibenarkan memakai pakaian lebih sopan untuk menjalani sesi uji bakat.

"Ketika itu saya bernaung di bawah agensi milik Puan Seri Tiada Jacquelina dan dia memberitahu klien sudah melihat profil dan berminat untuk saya menyertai mereka. Mereka membenarkan saya memakai kemeja-T dan seluar serta memberi bola dan gelung untuk beraksi.

"Saya buat uji bakat itu dengan bersahaja dan Alhamdulillah seminggu seleaps itu, saya mendapat panggilan diterima membintangi iklan komersial tersebut," ujarnya.



Dalam pada itu, Nasha berkata sejak daripada itu, dia percaya dengan bakat dikurniakan kepada dirinya tanpa perlu melanggar prinsip yang dipegang sepanjang bergelar seorang model.

"Sama juga jika saya dijemput oleh Zhang Toi dan Jimmy Choo di New York atau London, saya meletakkan syarat untuk pakaian yang akan diperagakan.

"Bagi saya kerana bakat yang ada, mereka percaya dengan kebolehan saya dan mahu saya memperagakan koleksi mereka. Pergi cari gambar saya berbikini, ada tak? Itu yang membuatkan saya masih bertahan dalam dunia model hingga ke hari ini," tuturnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: