01 October 2022

ZAMANI BERJAYA BERI PERSEMBAHAN TERBAIK WALAUPUN SUKAR - FITRI HARIS BELI BEG LV MILIK PAK NIL LELONG RM15,000



Penyanyi Zamani tetap berjaya memberikan persembahan terbaik menerusi Konsert Doa Buat Zamani yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi, walaupun dalam keadaan sukar akibat masalah tulang belakang bengkok atau skoliosis.


Konsert yang diadakan bertujuan untuk bertemu peminatnya sebelum menjalani pembedahan pada November ini turut mencetuskan kesedihan dalam kalangan hampir 3,000 penonton yang hadir. Konsert ini turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Dalam konsert tersebut, Zamani tampil menyanyikan 10 lagu antaranya 'Syair Si Pari-Pari', 'Entah Mengapa', 'Kala Hujan' dan 'Gerimis Mengundang'.

"Minta maaf jika nyanyian saya tak sampai atau tersalah atas faktor kesihatan saya. Harap semua faham. Persembahan malam ini santai-santai saja dan harap semuanya terhibur," kata Zamani yang disambut dengan tepukan penonton.

Klik untuk gambar besar



Konsert ini turut menampilkan penyanyi undangan iaitu Datuk Ramli Sarip, Rahim Maarof dan Fauziah Latiff yang berduet dengan Zamani selain menyanyi secara solo.

Kemunculan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi pada konsert tersebut tampil menjelaskan keprihatinannya terhadap kesihatan Zamani sehingga bertindak mewujudkan tabung untuk mencari dana buat Zamani dan ia telah membuatkan peminat tersentuh.

Aznil yang mengumumkan pelancaran sebuah tabung khas pula itu berkata, tabung ini dibuka hanya untuk tempoh 24 jam sebagai usaha untuk terus membantu penyanyi berusia 51 tahun itu.

"Sebelum ini kita berjaya kutip RM122,000 dalam tempoh kurang 32 jam untuk kos pembedahan yang dianggarkan RM80,000 hingga RM90,000. Lebihan wang tabungan itu boleh digunakan untuk kelangsungan hidup Zamani selepas pembedahan nanti.



"Saya berterima kasih kepada peminat Zamani yang turut bersama menularkan akaun ini dalam usaha mengumpul dana untuk membantunya," tuturnya.

Malah, Aznil turut membuat kejutan apabila melelong beg berjenama mewah miliknya yang berharga RM14,000. Tidak sampai 20 minit, beg itu dibeli penyanyi nasyid, Dr Fitri Haris yang diundang membacakan doa pada konsert ini untuk dihadiahkan kepada isterinya.

"Kami setuju beli beg ini sebab kami memang peminat Zamani. Bukan sebab jenama beg ini tapi saya memang berniat bantu Zamani," kata Fitri.

Menurut Aznil lagi, Zamani awalnya tidak selesa meminta wang dan belas ihsan, sebaliknya memilih bekerja bagi mengumpul wang untuk membiayai pembedahan.



"Saya bagaimanapun memilih memendekkan usaha ini dengan secara diam-diam membuka tabung untuk Zamani. Saya tak sangka dia masih bersemangat menghiburkan peminat walaupun dalam keadaan begitu," ujarnya.

Untuk makluman, Aznil atau mesra disapa Pak Nil, 59, menjadi watak penting di sebalik usaha mengumpulkan dana untuk pembedahan tulang belakang Zamani yang dijadualkan, November ini. Aznil menerusi usahanya pada Jun lalu berjaya mengumpulkan dana bagi mempercepatkan proses pembedahan ini.

Segmen ini ternyata menjentik emosi penonton terutamanya apabila Zamani menyanyikan lagu 'Namun Ku Punya Hati' sambil menangis.

Kesedihan ini turut dikongsi oleh Aznil, Rahim Maarof, Fauziah Latiff dan penganjur Aalan Ahmad yang turut bersamanya di atas pentas. Malah, ada dalam kalangan penonton turut menitiskan air mata dengan persembahan Zamani.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: