27 October 2022

"KAMI BOLEH FOKUS ANAK-ANAK..." - MICHAEL HANSEN AKUI MASIH BERKAWAN BAIK, DOA SAKINAH BAHAGIA



"Sakinah mempunyai Anais (anak hasil perkahwinan pertama) dan kerjaya yang hebat di Malaysia, manakala saya memiliki dua cahaya mata dan perlu bekerja di Sweden.


"Jadi, agak sukar untuk kami berdua bergerak ke mana-mana. Keputusan untuk menamatkan perkahwinan ini dibuat secara bersama selepas melalui hasil perbincangan dan dipersetujui oleh kami berdua.

"Apa yang akan berlaku pada masa mendatang, saya masih tidak tahu tetapi semoga ianya memberi kebaikan untuk kita semua, Insya-Allah," itulah kata suami kepada pelakon Sharifah Sakinah, Michael Hansen berhubung rumah tangga mereka yang bakal berakhir.

Sebelum ini, hangat diperkatakan mengenai status rumah tangga Sakinah apabila aktres itu mengesahkan bakal berpisah dengan suaminya, selepas tiga tahun bersama.

Klik untuk gambar besar



Bercakap mengenai hal tersebut, Michael memaklumkan mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk berpisah secara harmoni memandangkan kedua mereka mempunyai tanggungjawab di negara masing-masing.

Menurut Michael yang juga merupakan warga Sweden, ini adalah keputusan terbaik buat mereka namun masih mengekalkan hubungan baik serta mendoakan kebahagiaan buat Sakinah.

"Kami percaya ini adalah tindakan yang terbaik ketika ini supaya kami boleh fokus dengan perkara yang penting iaitu anak-anak serta keluarga masing-masing. Apapun, kami masih kekal sebagai kawan baik dan semuanya baik-baik saja.



"Sakinah adalah wanita yang berbakat, lucu, berkarisma dan berhati mulia. Saya tidak mengharapkan apa-apa selain mendoakan kebahagiaan dan yang terbaik untuk dirinya," tuturnya.

Dalam pada itu, Michael mengaku berlaku sedikit 'drama' ketika mereka memilih untuk berpisah secara baik. Ujarnya, hubungan mereka memerlukan usaha lebih keras apatah lagi berada di negara berbeza.

"Saya boleh sahkan mengenai apa yang Sakinah kongsikan iaitu kami mengambil keputusan untuk bercerai. Bagaimanapun terdapat sedikit 'drama' mengenai keputusan yang dibuat.



"Hubungan jarak jauh adalah sukar dan menuntut usaha yang lebih keras. Walaupun anda berada di negara yang sama tetapi berbeza bandar, ia masih sukar.

"Jadi bayangkan perbezaan waktu kami iaitu enam hingga tujuh jam dan masa perjalanan 17 jam untuk kami bertemu, maka ia sangat sukar. Tidak kira berapa banyak anda mencuba dan berusaha keras, kadang-kadang ia sudah tidak boleh diselamatkan," ujarnya.

Pada Februari lalu, Sakinah membuat kejutan apabila mengumumkan sah bergelar suami isteri selepas setahun menjalinkan hubungan dengan Michael. Sakinah bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh dan butiran pernikahan.

Untuk makluman, Sakinah yang juga adik kepada pelakon dan pengacara, Sharifah Haslinda serta Sharifah Shahirah itu pernah mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015, namun berpisah pada Mei 2020. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan anak perempuan, Anais Adha, 5.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: