18 October 2022

"MUJURLAH PARU-PARU SAYA TIDAK DITEBUK" - AIMAN TINO MULA SEDAR HISAP VAPE BAHAYAKAN KESIHATAN



Penyanyi Aiman Tino yang baru-baru ini mengalami jangkitan kuman pada bahagian paru-paru itu mula mengambil iktibar untuk tidak lagi meneruskan tabiat menghisap rokok elektronik, selain turut menasihati orang ramai supaya menghentikan perbuatan berkenaan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.


Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 24, sebelum ini dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dan dibenarkan pulang selepas tiga hari menerima rawatan di sana.

"Sebelum ini hanya dengar kisah orang sahaja tentang akibat penggunakan vape, sekarang ini terjadi kepada diri sendiri. Mujurlah paru-paru saya tidak ditebuk kerana kata doktor masih belum kronik.

"Ketika menerima rawatan doktor juga beritahu ramai yang mengalami masalah sama... ini merupakan satu pengajaran buat saya. Jadi kepada semua orang ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku ini.

Klik untuk gambar besar



"Mungkin saya tidak boleh nak halang semua orang hisap vape, tetapi haruslah beringat soal kesihatan diri sendiri," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Berkongsi mengenai masalah kesihatannya itu, Aiman memberitahu dia mula berdepan masalah sakit tekak sejak tiga minggu lalu. Gara-gara batuk teruk, Aiman berkata ia mengganggu vokal nyanyiannya sekaligus tidak dapat membuat persembahan dengan baik di atas pentas.

"Sebelum menerima rawatan di hospital, saya sudah tiga minggu batuk tak henti. Disebabkan itu juga menjadi punca kepada jangkitan kuman pada paru-paru. Selain itu tabiat berkongsi vape juga menjadi satu sebab kerana penyebaran virus lebih mudah melalui mulut.


"Disebabkan masalah ini saya sukar untuk bernafas dan terpaksa turunkan key ketika membuat persembahan baru-baru ini," kata penyanyi lagu 'Ku Rela Dibenci' ini.

Sementara itu, Aiman berkata dia kini dalam tempoh pemulihan dan masih mengambil ubat-ubatan serta perlu menjalani pemeriksaan susulan selama beberapa minggu lagi.

"Sekarang ini saya masih berehat di rumah emak. Memang macam-macam petua dia suruh saya amalkan seperti minum air asam jawa. Saya juga dikehendaki menjalani pemeriksaan susulan. Semoga tidak ada sebarang masalah serius.

"Hal kerja juga tak boleh nak tinggal terus. Saya masih lagi akan memenuhi undangan menyanyi kerana sudah berjanji dengan pihak penganjur," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: