"Perkembangan terkini keadaan kesihatan ayah, dia masih lagi ditidurkan dan belum menunjukkan sebarang tanda-tanda positif untuk sedar. Bahkan, keadaannya semakin kritikal.
"Semalam, doktor juga sudah memberikan ayah dos antibiotik yang lebih kuat untuk membunuh kuman-kuman yang menyerang badannya. Namun, doktor maklumkan, ubat itu tidak memberi sebarang tindak balas terhadap jangkitan yang ayah alami."
Demikian kata anak kepada pelakon veteran, Hisham Ahmad Tajuddin, 76, iaitu Aqeela Mohd Hisham, 26, yang memaklumkan keadaan terkini bapanya.
Difahamkan, keadaan kesihatan Hisham yang kini dirawat di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam (HSA) masih lagi tidak menunjukkan perkembangan positif dan difahamkan semakin kritikal.
Aqeela berkata bapanya yang dimasukkan ke HSA pada Khamis lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru itu masih lagi ditidurkan serta menggunakan 100 peratus bantuan alat pernafasan.
Menurut Aqeela, doktor juga memberitahu keadaan bapanya kini terlalu kritikal dan meminta semua ahli keluarga bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
"Apapun, saya mohon kepada orang ramai serta semua yang mengenali ayah agar mendoakan kesihatannya untuk kembali sihat seperti sediakala dan dapat pulang ke pangkuan keluarga.
"Saya juga bersyukur kerana rakan-rakan serta saudara-mara tidak berhenti menghubungi untuk bertanyakan perkembangan kesihatan ayah. Terima kasih saya ucapkan kepada semua," tuturnya.
Menerusi laporan sebelum ini, Hisham berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, selepas dia difahamkan mengalami batuk teruk sejak seminggu lalu.
Terdahulu, Hisham adalah pelakon yang aktif dalam arena drama dan filem tanah air sekitar 1980-an lalu. Namun, dia yang juga pesara kerajaan kini banyak menghabiskan waktu berehat di rumah bersama keluarga kerana faktor usia serta penjagaan kesihatan kerana menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi.
Selama aktif sebagai pelakon berdekad lamanya, Hisham sudah membintangi banyak drama dan filem. Antara karya lakonannya ialah 'Tsu Feh Sofiah', 'Wira Angkasa', 'Hanny', 'Putera', 'Black Maria', 'Dalam Hati Ada Cinta', 'Tanah Kubur' dan 'Tok Ayah'.
________________________
No comments:
Post a Comment