28 October 2022

"TAK PERLU BUAT PENGUMUMAN" - PEKIN IBRAHIM BERSYUKUR ISTERI BERTUDUNG, HARAP TERUS ISTIQAMAH



"Sebenarnya, saya terkejut juga pada mulanya apabila Mona tiba-tiba saja bertudung. Malah, dia jadi kelam-kabut mencari tudung nak dipakai ketika seorang rakan lelaki saya datang berkunjung ke rumah kami. Saya memang tak pernah gesa dia (Mona) untuk pakai tudung, sebab saya nak Mona pakai dengan rela hati.


"Lagi pula, Mona ada anginnya sendiri dan mana tahu kalau ketika itu dia saja-saja nak cuba pakai tudung," kongsi pelakon Pekin Ibrahim, 41, yang amat bersyukur apabila isterinya, pelakon Mona Allen, 37, bertudung dengan rela hati sejak beberapa bulan lalu dan berharap suri hatinya itu terus istiqamah.

Meskipun memakai tudung bagi wanita Muslim itu wajib, Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim berkata, dia tidak pernah menggesa isterinya membuat perubahan secara drastik dan biarlah dilakukan dengan rela hati.

Tambahnya lagi, dia bagaimanapun bersyukur dengan perubahan penampilan bertudung dibuat isterinya dan berharap ia terus berkekalan. Cuma, kata Pekin, dia pernah ingatkan Mona agar tidak membuat perkongsian terbuka di media sosial.

Klik untuk gambar besar



"Saya kata dengan Mona, kalau rela hati pakai tudung itu baguslah. Tapi, tak perlu buat sebarang perkongsian macam pengumuman di media sosial. Sebabnya, mana tahu kalau berlaku sebaliknya nanti (terbuka tudung), mesti dikecam netizen.

"Jadi, buat biasa saja sudahlah tanpa sebarang kenyataan dikeluarkan. Cuma, harapan saya agar dia teruskan penampilan bertudung itu sampai bila-bila," katanya yang menerima Anugerah Dekan, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Untuk makluman, Pekin mendirikan rumah tangga dengan Mona Allen pada 7 Disember 2018. Hasil perkongsian hidup itu, mereka baharu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Petra Pekin kini berusia dua bulan yang dilahirkan pada 31 Ogos lalu, selepas empat tahun menanti.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: