31 October 2022

"WALAUPUN TONGKAT (MILIK ARWAH BAPA) TIDAK KENA KONSEP... TETAPI ITULAH KEKUATAN SAYA" - DINA NADZIR



"Saya bawa tongkat milik ayah saya dari Johor, walaupun ia tidak kena dengan konsep persembahan tetapi itulah kekuatan saya untuk meneruskan pertandingan.


"Tongkat ini ayah sering guna untuk membantunya berjalan sebelum dia menggunakan kerusi roda," itulah jelas Dina Nadzir mengenai tongkat yang dibawa ketika membuat persembahan di pentas Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).

Kemunculan Dina Nadzir di pentas GV9 yang menyanyikan lagu 'Lady Mamarlade' itu telah menarik perhatian apabila penyanyi dan penyampai radio ini dilihat memegang sebatang tongkat sepanjang persembahannya.

Kata Dina, tongkat tersebut adalah milik Allahyarham bapa tersayang iaitu Mohd Nadzir Gulam Kadir yang sering digunakan untuk membantunya berjalan ketika hayatnya.

Klik untuk gambar besar



Ujarnya lagi, meskipun tongkat tersebut tidak kena dengan konsep persembahan lagu berkenaan namun ia memberi semangat kepadanya meneruskan perjuangan dalam pertandingan berkenaan.

Dalam pada itu, Dina bersyukur apabila dia dapat berada di sisi bapanya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir. Menceritakan detik berkenaan, Dina memberitahu dia mendapat perkhabaran tentang keadaan bapanya ketika sedang membuat pemeriksaan suara untuk konsert minggu keenam GV9.

"Saya dapat berita mengenai keadaan ayah ketika sedang membuat sound check tapi masa itu ayah ada lagi. Jadi apabila balik ke Johor untuk menziarahinya, dia sudah tidak sedarkan diri tapi masih boleh memberi tindak balas.



"Rezeki saya dapat tengok ayah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, saya ada disebelahnya. Anak-anak dia semua dapat balik dan bersamanya buat kali terakhir," tuturnya.

Mengulas mengenai kemunculan Atilia, Nadia Aqilah selain guru vokal dan kakaknya dalam persembahan lagu 'Lady Mamarlade', Dina berkata, dia belum cukup kuat untuk tampil seorang diri ketika berada di pentas.

Kata Dina, dia bersyukur rakan-rakan dan keluarga membantunya menyanyikan lagu tersebut dan membuatkan dia berasa lebih yakin.

"Saya tak kuat nak buat persembahan seorang diri, sebab itu saya bawa rakan-rakan dan kakak saya. Apabila adanya mereka, perasaan untuk terus berjuang itu ada," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: