04 October 2022

"YANG BERKELAKUAN ANEH ITU, ROCKER ATAU BERUK?" - AWIE TEGAS PERLU ADA ADAB MESKIPUN PENYANYI ROCK



"Berkenaan isu rockers yang bertindak tidak sopan di atas pentas itu bukan lesen untuk dia carut dan berkelakuan aneh ketika buat persembahan. Rock ini ada kategori-katergorinya, rock punk, rock death metal dan sebagainya.


"Yang berkelakuan aneh itu, rocker atau beruk? Kalau betul dia rocker, dia tidak begitu. Tapi kalau 'beruk', mungkin dia begitulah kan," demikianlah ujar penyanyi Datuk Awie yang menitipkan nasihat kepada penyanyi band rock di Malaysia supaya tidak terbawa-bawa masalah peribadi ke atas pentas dan sentiasa ingat akan ibu bapa sebelum melakukan sesuatu yang buruk.

Vokalis kumpulan Wing itu turut menegaskan penyanyi band rock Malaysia seharusnya memiliki adab yang tinggi serta tidak bersikap biadab ketika melakukan persembahan. Penyanyi berusia 53 tahun itu berkata, setiap manusia ada adab dan ia perlu dijaga.

"Band di Malaysia ni kebanyakkannya Melayu dan kita ada adab, adab kita sangat tinggi. Rock memang ada attitude g*mpang tapi jangan ambil yang g*mpang. Walau macam mana sekalipun, adab ketimuran kita ini, budaya kita orang Melayu tinggi adabnya. Kalau kita tiada adab, ia biadap. Ia bukan budaya Melayu.

"Saya seru kepada semua penyanyi band walaupun rock macam mana sekali pun jaga adab, kesian mak ayah kita yang ajar kita mengaji dan adab, kira hancurkan, kesian ibu bapa. Penat bawa kita belajar, mengaji dan sebagainya, tiba-tiba kita hancurkan adab kita. Untuk apa?

"Jangan mulakan sesuatu yang b*doh, carilah sesuatu dari sudut yang positif, dalam seni muzik macam-macam boleh dibuat. Saya dah 37 tahun nyanyi, rebel itu hanya diluar pentas, jangan bawa atas pentas, nanti satu dunia tahu.

Klik untuk gambar besar



"Kalau nak rebel boleh, tetapi melalui penulisan lirik, berkaryalah, luahkan dalam lirik bukannya dengan attitude buruk di atas pentas. Selagi beriman Insyallah kita boleh kawal perkara itu," tambahnya.

Mengulas lanjut, Awie meminta agar setiap artis yang beraksi agar tidak memulakan perkara yang meniup kebencian daripada peminat. Dalam masa sama, Awie berkata, muzik rock ada kategorinya dan budaya tersendiri yang asalnya dari luar.

"Inilah masalahnya. Janganlah mulakan dan jangan buat. Kita sebagai penyanyi atau influencer, jangan mulakan perkara bodoh. Kalau kita mulakan benda yang bodoh, mereka yang di bawah akan jadi bodoh macam kita juga.

"Buat apa kita nak memperbodohkan mereka. Baik kita cari benda yang positif. Dari sudut seni ini macam-macam benda kita boleh buat. Janganlah ambil perkara yang negatif itu. Kita janganlah membudayakan kelakuan yang tidak baik itu di sini.

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah kerana individu itu sendiri tanpa mengira era rock mana. Kita salahkan individu itu sendiri. Dia nak bawa ke mana arah diri dan tujuannya.

"Kalau arah positif, positiflah ia. Begitu juga sebaliknya. Jangan jadikan anak-anak yang lahir selepas ini sebagai generasi yang tidak bertamadun," tutur Awie yang mengakui selama 37 tahun menyanyi, dia langsung tidak pernah mambawa masalah peribadi ke atas pentas.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: