21 November 2022

"ADA MASA 'ON AND OFF" - PENGARAH AZAHARI ZAIN KINI SIHAT WALAUPUN TERLANTAR AKIBAT ANGIN AHMAR



"Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan di rumah keadaan suami saya sihat. Tapi, biasalah orang sakit ini, ada masa keadaan sihatnya 'on and off'. Apapun, kos rawatan suami di hospital termasuk ubat masih ditanggung UiTM kerana dia pensyarah di sana.


"Namun, untuk rawatan alternatif lain seperti akupuntur, rawatan urut di rumah dan sebagainya, kos rawatan itu dibiaya sendiri," demikian ujar isteri pengarah filem dan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azahari Zain, 50, iaitu Wahizatul Nureen Azmi atau Nureen ketika dihubungi.

Selepas terlantar sakit akibat diserang angin ahmar sejak sembilan bulan lalu, Azahari kini dalam keadaan sihat di rumah. Jelas isterinya, selama enam bulan di rumah, keadaan kesihatan Azahari baik tetapi untuk pulih semula daripada angin ahmar itu mengambil masa.

Ditanya mengenai kunjungan penerbit filem yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG), David Teo melawat suaminya di rumah baru-baru ini, Nureen berkata, David memang sentiasa bertanya khabar dan prihatin.

"Dia (David) adalah bekas majikan suami yang amat baik, bertanggungjawab dan ambil berat terhadap kami sekeluarga. Sehingga kini, dia bersama isterinya, Jane kerap berhubung untuk bertanya khabar, datang melawat termasuk menghulurkan bantuan. Mereka memang prihatin.

"Begitu juga, pihak UiTM sangat baik dalam memberi layanan rawatan kesihatan kepada suami saya. Rakan, kenalan dan pelajar-pelajar suami di UiTM masih datang melawat keadaannya di rumah, selain bertanya khabar di telefon dan silaturahim terjalin, Alhamdulillah tidak putus.

Klik untuk gambar besar



"Rakan-rakan suami saya dalam industri seni pun datang melawat dan bertanya khabar keadaannya juga. Alhamdulillah, suami saya seorang yang ramai kenalan dan disenangi. Maka itu, dia tidak dilupakan orang-orang yang mengenalinya walaupun kini terlantar sakit," katanya.

Nureen berkata, suaminya memang suka berkawan, mesra dan bersikap ramah. Cuma, sekarang dia masih perlu masa untuk kembali pulih semula akibat serangan angin ahmar pada Februari lalu.

Bagi yang ingin menghulur sumbangan, boleh ke akaun Bank Islam, 12186020132190 (Wahizatul Nureen Azmi). Terdahulu, Azahari menerima rawatan lanjut di Hospital UiTM selama dua bulan sebelum dibenar pulang ke rumah untuk rawatan seterusnya.

Azahari yang memulakan karier seni pada 2004 pernah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.

Ketika bekerjasama dengan MIG, Azahari pernah mengarahkan filem seperti Santau, 7 Petala Cinta, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A, Zoo dan banyak lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: