21 November 2022

DINA NADZIR DAH JANGKA TERSINGKIR: "VOCAL CORD' SAYA MEMANG DAH RABAK... KENA BEREHAT DUA BULAN"



"Saya jangka akan tersingkir pada minggu ke lima atau enam. Sejak minggu itu saya tenang-tenang saja. Secara peribadi, kita boleh sukat sejauh mana tahap kemampuan kita dari aspek kebolehan nyanyian, tenaga dan kesihatan.


"Jadi saya jangka memang tidak ke final. Saya seorang yang realistik dan sedar diri. Itulah buat orang geram dengan saya. Mereka percayakan saya, tapi pada masa sama saya seorang yang realistik," kata penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir yang sudah menjangka dia tidak akan ke pentas akhir Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), Ahad depan.

Dalam sidang media selepas Konsert Separuh Akhir GV9 di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi, Dina berkata penyingkirannya itu berikutan persembahannya yang kurang memuaskan akibat masalah kesihatan iaitu kecederaan pada kotak suara.

Menurut Dina atau nam sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 37,, dia juga tidak ralat gagal menempah tiket ke pentas akhir bersama enam peserta lain.

Klik untuk gambar besar



"Saya juga menafikan kenyataan saya terlampau cepat mengalah dan tidak menunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya dah berjuang dengan sehabis baik. Lagu-lagu yang saya bawakan juga kebanyakannya tidak mudah. Saya berusaha membuktikan perjuangan saya sehingga kotak suara mengalami kecederaan serius.

"Masalah ini dah berlarutan agak lama dan 'vocal cord' (pita suara) saya memang dah rabak. Kalau orang lain mungkin dah lama tarik diri. Kesakitan itu saya ketepikan. Macam kita main bola, kaki dah patah tapi kita lari lagi. Itu yang saya alami sekarang.

"Kalau itu bukan berjuang lagi, tak tahulah nak cakap apa. Saya pun dah berjumpa dengan Shafinaz dan dia menasihatkan saya jumpa doktor pakar dan kena berehat selama dua bulan," tuturnya.

Berkongsi mengenai kesihatannya, Dina berkata, dia mengambil risiko besar untuk meneruskan perjuangan dalam GV9 kerana tidak mahu berputus asa. Kata Dina, keadaan peti suaranya sudah semakin teruk dan boleh menyebabkan dia tidak lagi mampu menyanyi buat selamanya.

"Saya sebenarnya diberi MC selama sebulan oleh doktor untuk tidak bekerja dan menyanyi. Peti suara saya kini sudah sangat 'rabak'. Jika tidak, risiko yang bakal saya hadapi adalah suara menjadi serak selamanya dan ia menyukarkan saya untuk menyanyi lagi," ujarnya.

Biarpun berdepan dengan risiko besar, Dina tetap bersemangat meneruskan perjuangannya dalam GV9 kerana tidak mahu menghampakan peminat. Penyanyi lagu 'Cinta Datang Lagi' itu juga berpuas hati kerana sudah berjuang habis-habisan untuk berada sehingga ke minggu kesepuluh.

"Nak kata lega tersingkir di separuh akhir pun ada, tapi sedih juga kerana siapa yang tidak mahu ke final, kan? Namun, saya reda kerana saya tahu kami semua sudah berjuang sehabis baik," jelasnya.

Selain Dina, turut tersingkir ialah Fuad Rahman. Konsert separuh akhir GV9 itu menyaksikan enam bintang akan berentap merebut gelaran juara. Mereka ialah Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Hazrul Nizam dan VE.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: