21 November 2022

IBU BAPA KOTA JANJI DATANG BERI SOKONGAN - SHILA AMZAH GEMBIRA, SEKALIGUS HAPUS SPEKULASI RUMAH TANGGA



"Mereka memang sudah berjanji akan datang sekiranya saya layak ke peringkat separuh akhir dan final. Insya Allah final nanti mereka juga akan datang," tutur penyanyi Shila Amzah meluahkan rasa gembira apabila ibu bapanya datang memberikan sokongan untuknya ketika membuat persembahan di separuh akhir Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) yang berlasung malam tadi.


Penyanyi lagu 'Patah Seribu' itu menjelaskan ketiadaan ibu bapanya memberi sokongan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sepanjang dia berentap dalam program itu disebabkan mereka sibuk dengan urusan lain.

Shila atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah, 32, berkata, bapanya, Datuk ND Lala kebiasaannya akan sibuk terutamanya pada hujung minggu dan tidak dapat hadir memberi sokongan kepadanya.

Dalam pada itu, Shila memberitahu bapanya memang sudah berjanji untuk hadir memberi sokongan sekiranya dia berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan final minggu hadapan. Kehadiran ibu bapanya adalah sebagai mengotakan janji yang dibuat kepadanya sebelum ini.

Klik untuk gambar besar



"Ayah saya memang sering sibuk terutamanya pada waktu hujung minggu tapi saya sangat gembira dengan kehadiran keluarga di GV9 minggu ini," jelasnya ketika ditemui selepas pertandingan peringkat separuh akhir GV9 selesai pada malam Ahad.

Terdahulu kelibat ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 61 dan isteri, Datin Fauziah Sarman menjadi tumpuan apabila dilihat hadir menyaksikan pertandingan berkenaan.

Wajah kedua-dua mereka yang kelihatan gembira sering dirakam kamera memandangkan pasangan itu duduk di bahagian belakang juri.



Kemunculan ND Lala dan Fauziah itu sekaligus turut melenyapkan spekulasi bahawa rumah tangga penyanyi era 80-an itu yang sebelum ini dikatakan dilanda badai.

Sebelum ini Shila pernah menafikan ibu bapanya sudah berpisah namun mengakui perkahwinan pasangan itu diuji selepas 33 tahun mendirikan rumah tangga.

Pada peringkat separuh akhir itu, Shila menyampaikan lagu 'Sang Dewi' nyanyian asal Titi DJ dan lagu duet bersama Jaclyn Victor, 'Sampai Bila' (Misha Omar).



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: