05 November 2022

AL-FATIHAH - PEMAIN BASS ELLA & THE BOYS KEMBALI KE RAHMATULLAH



Awal pagi hari ini, pemain bass kumpulan Ella & The Boys, Zahari Mohammed, 69, atau Ayie dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Puchong, Selangor, akibat masalah jantung.


Isterinya, Siti Mariam Yaakob, 57, ketika dihubungi Harian Metro berkata, pasukan perubatan yang tiba selepas dihubungi mengesahkan suaminya sudah meninggal dunia pada jam 3.05 pagi.

"Itu pengesahan yang dibuat mereka. Sebenarnya saya yakin dia meninggal di pangkuan saya kira-kira jam 2 hingga 2.30 pagi. Saya menghubungi kenalan baiknya yang berdekatan tempat tinggal kami meminta datang segera ke rumah. Merekalah yang hubungi pasukan perubatan untuk tengokkan keadaan abang," jelasnya.

Menurutnya, suaminya yang pulang ke rumah selepas menguruskan studio kira-kira jam 10 malam tadi itu mengadu sakit dada. Tambahnya lagi, dia pasti akan terkilan sekiranya suami meninggal dunia di tempat lain seperti di studio.

"Selalunya dia balik lambat sama ada jam dua atau tiga pagi. Malam tadi dia memang cepat balik sehingga saya tertanya-tanya dan terfikir dia mungkin penat.

"Sebelum ini, dia pernah sakit dada dan saya sedia maklum suruh dia makan ubat. Dia tiada masalah jantung hanya gastrik saja. Malam tadi angin gastrik dia tak keluar dan itu yang buat dia sesak nafas dan sakit dada. Dia mengadu rasa seperti mencucuk-cucuk.

"Pengakhiran suami adalah di ruang tamu. Saya usap dahi dan kepalanya dan ajar dia mengucap. Tangan tak putus-putus usap kepalanya. Kiranya dia meninggal dunia di pangkuan saya.

Klik untuk gambar besar



"Allah beri kami peluang untuk berjumpa pada saat akhir. Saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang baik seperti arwah. Keadaan wajahnya ketika meninggal dunia seperti sedang tersenyum," tuturnya yang berkahwin dengan Allahyarham pada 1999 tetapi tidak dikurniakan anak.

Zahari menganggotai Ella & The Boys bersama Ella (penyanyi), Lord (gitar) dan Mie (dram) pada 1981. Mereka mula tampil dengan album kompilasi Battle of the Bands I & II pada 1985 dan 1986.

Ella & The Boys kemudian tampil dengan dua album iaitu Anak Merdeka dan Ella & The Boys 2 sebelum Ella meninggalkan kumpulan itu dan meneruskan kerjaya solo.

Mereka popular dengan lagu seperti 'Dua Insan Bercinta', 'Cinta Berakhir' dan 'Hanya Secebis Jawapan'. Sementara itu, pemain gitar The Boys, Ahmad Lokman Ismail atau Lord berkata, dia dan Allahyarham pernah merancang untuk menghasilkan single terbaru The Boys.

"Sebelum ini pun kami pernah berhasrat nak ambil Ella semula tapi dia terikat dengan kontrak bersama Universal Music. Semasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya dah buat lagu. Apakan daya impian ini tak kesampaian. Saya akan rakamkan juga lagu ini sebagai kenangan terakhir kami," katanya.

Jenazah Zahari dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Kinrara, Puchong, hari ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: