13 November 2022

ALAMI ANOREKSIA NERVOSA, IBU PULA JATUH SAKIT & ALAMI TEKANAN - DIANA DANIELLE DEDAH PERNAH SETAHUN TAK SEKOLAH



Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle baru-baru ini menerusi akaun Instagram miliknya, ada mendedahkan dia pernah mengalami gangguan emosi serta hilang keyakinan diri ketika zaman remajanya sehingga menggangu rutin harian.


Ibu kepada dua cahaya mata itu berkongsi hal berkenaan bersempena pelancaran single terbaharunya berjudul 'Shine On' yang mengetengahkan tema keyakinan diri.

Kata Diana, 30, emosinya itu terganggu gara-gara ibu kesayangan jatuh sakit sekaligus membuatkan dia tidak dapat hadir ke sekolah selama setahun bagi menjaganya.

"Mengimbau kembali waktu remaja adalah paling sukar. Ibu saya jatuh sakit, saya tidak bersekolah selama setahun kerana berpindah ke Pulau Pinang untuk merawatnya. Ibu saya mengalami tekanan sehingga emosi saya sendiri turut terganggu... saya takut kehilangannya," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Tambah Diana, masalahnya tidak terhenti di situ apabila dia mengalami pula gangguan pemakanan iaitu anoreksia nervosa. Katanya, selepas kembali bersekolah, dia berasa tidak yakin dengan dirinya sendiri dan sentiasa terganggu dengan berat badannya yang disifatkan tidak ideal.

"Selepas kembali semula ke sekolah, saya mula tidak suka dengan rupa saya. Saya rasa tiada siapa yang peduli kalau saya sedih atau gembira. Saya mula tak makan sebab nak turunkan berat badan, pakai krim kurus dan mengalami anoreksia.

"Saya tak makan dan bandingkan diri dengan model-model dalam malajah. Semua tak jalan," dedah isteri kepada pelakon dan pengarah, Farid Kamil itu.


Enggan terus terperangkap dengan perasaan itu, Diana mengambil keputusan membuat perubahan dan berjuang memperbetulkan keadaan demi kebahagiaan diri sendiri.

Jelas Diana, meskipun titik rendah dalam hidupnya itu sudah lama berlalu namun ia menyedarkan dia tentang banyak perkara sehingga ke hari ini.

"Rasa macam dah berjuta tahun berlalu tapi perkara itu banyak menyedarkan saya tentang siapa saya sekarang. Saya terus berjuang dan tidak membenarkan hati beritahu yang saya tak cukup bagus," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: