03 November 2022

ANAK MULA BERHIJAB - NANA MAHAZAN RASA SERONOK



Umum sedia mengetahui mengenai pengacara Nana Mahazan dimana dia mula berhijab pada Ogos 2021 dan penghijrahannya itu mendapat reaksi positif daripada peminat yang teruja serta meluahkan rasa syukur.


Terbaru, Nana meluahkan rasa terkejut apabila anak perempuannya, Althea Raqeem Barian yang kini berusia 12 tahun itu mahu memakai tudung dan kini sudah masuk empat bulan anaknya itu sudah berhijab.

"Dia membuat keputusan itu tanpa sebarang paksaan. Pada awalnya dia bertanya kepada saya adakah setiap wanita perlu memakai tudung selepas datang haid.

"Saya pun menjawab pertanyaannya itu dan memberitahu pemakaian tudung ini adalah wajib bagi wanita untuk menutup aurat. Tapi saya maklumkan padanya yang saya pun mula pakai tudung sejak tahun lalu.

Klik untuk gambar besar



"Ketika saya belum bertudung, dia tidak pernah bertanya mengenai perkara ini. Tapi mungkin selepas melihat saya sudah mula bertudung dan rakan-rakan sekolahnya pun sama membuatkan banyak persoalan bermain dalam fikirannya.

"Alhamdulillah ketika saya menghantar anak-anak ke rumah keluarga kerana saya dan suami pergi bercuti pada Jun lalu, mak saya hantar gambar Athea bertudung dan keesokan harinya ketika mereka pergi mandi sungai pun dia masih nak pakai tudung.

"Jadi bermula dari situlah dia berhijab sehingga sekarang," kata Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, 39.



Dalam pada itu, Nana berkata, sebagai ibu sudah tentu dia rasa gembira dengan perubahan anak perempuannya itu serta berharap Althea akan terus kekal istiqamah.

Malah, Nana memberitahu, dia turut mengeluarkan koleksi tudung khas sempena nama puteri sulungnya itu untuk kegunaan harian.

"Mestilah saya seronok apabila anak nak buat perkara baik. Bayangkan saya beli 14 helai tudung apabila dapat tahu dia nak bertudung. Malah saya juga sanggup keluarkan tudung Sisterhood edisi khas sempena nama anak saya kerana dia minat warna-warna yang lebih selamat untuk kegunaan harianya.

"Apapun keputusannya saya nak dia tahu yang saya sentiasa menyokong dan sanggup buat apa saja. Saya juga bersyukur apabila menerima mesej positif daripada peminat mengenai perubahan anak saya ini," ujarnya.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: