04 November 2022

BACAAN YASIN & DOA SELAMAT DIADAKAN SECARA VIRTUAL - ZAMANI MOHON DOAKAN PEMBEDAHAN 7 NOVEMBER INI BERJALAN LANCAR



Pada 7 November ini, penyanyi Zamani Ibrahim akan menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras.


Mengenai persediaan sebelum jalani pembedahan, penyanyi kumpulan Slam itu berkata, persediaan dari segi mental sememangnya sudah sempurna, namun dari segi fizikal pula sukar dijangka.

Jelas Zamani, persediaan mental adalah perkara paling utama kerana ini adalah pembedahan besar pertama akan dilakukannya selepas pembedahan membuang batu karang lebih dua dekad lalu.

"Namun, saya dah ikut saranan doktor dari segi diet dan pengambilan vitamin. Insya-Allah, mudah-mudahan kesihatan saya berada pada tahap yang baik menjelang hari pembedahan.

Klik untuk gambar besar



"Saya memang fokus kena buat juga pembedahan ini. Saya tak dapat buat proses tebuk seperti yang diberitahu sebelum ini kerana yang itu untuk masalah yang tak terlalu banyak.

"Pembedahan yang akan saya jalani ini mungkin lambat sedikit untuk sembuh. Kalau ikut kata doktor sekitar dua hingga enam minggu, Insya-Allah.

"Dah tentu perasaan takut itu tetap ada tapi bukanlah sebab bimbangkan perkara buruk yang akan berlaku kerana semuanya saya sudah serahkan pada Allah.

"Perasaan takut itu kerana ini adalah pembedahan besar pertama yang bakal saya jalani. Saya dimaklumkan pembedahan itu akan memakan masa selama dua jam setengah.


"Sebelum ini saya hanya buat pembedahan minor iaitu membuang batu karang. Untuk pembedahan itu nanti, saya akan ditidurkan," katanya selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat secara virtual anjuran kelab peminatnya, malam tadi.

Tambah Zamani lagi, selepas pembedahan tersebut, dia boleh bergerak seperti biasa. Mengikut penerangan doktor, dia boleh pulih dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada daya ketahanan tubuh.

"Sepanjang tempoh itu, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan juga menjalani latihan fisioterapi. Bagaimanapun untuk saya pulih hingga boleh kembali aktif dalam bidang nyanyian, mungkin memakan masa hingga tiga bulan. Itupun bergantung pada kekuatan tubuh," tuturnya.

Difahamkan, majlis bacaan Yasin dan Doa ini disertai sekitar 65 orang termasuk rakan selebriti seperti Abby Fana. Dalam pada itu, Zamani berkata, dia turut mengharapkan peminat dapat mendoakan kesejahteraannya serta urusan pembedahannya itu berjalan lancar dan dipermudahkan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: