11 November 2022

BANTU HANTAR WANITA OKU PENGLIHATAN & ANAKNYA KETIKA LRT TERJEJAS - NABIL TERIMA PUJIAN



Ramai pengguna perkhidmatan pengangkutan awam terjejas, selepas penutupan selama seminggu di 16 stesen LRT dari laluan Kelana Jaya ke Ampang Park.


Menerusi perkongsian video di laman Instagram ERA, pengacara dan pelawak Nabil Ahmad dilihat telah mengambil inisiatif dengan membantu menumpangkan seorang wanita kelainan upaya penglihatan (OKU) dan anaknya ke sekolah.

Dalam muat naik tersebut, menjelaskan wanita yang dikenali sebagai Puan Uma itu akan ke stesen LRT Ara Damansara untuk bergerak ke tempat kerja.

Nabil menerusi ruangan kapsyen menyatakan bahawa Puan Uma telah menggunakan pengangkutan awam setiap pagi selama enam tahun.

"Puan Uma ni OKU penglihatan dan setiap pagi selama enam tahun dia akan menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja," kata Nabil.

Klik untuk gambar besar



Pada masa sama, Nabil juga sempat menitipkan kata-kata pesanan untuk individu yang sempurna di luar sana supaya sentiasa bersyukur dan menjadikan Puan Uma sebagai pengajaran di mana kekurangan bukanlah satu penghalang dalam kehidupan seharian.

"Satu benda hari ini yang kita belajar dengan Puan Uma, kita yang sempurna ni kena sentiasa belajar bersyukur dan kekurangan bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan seharian," ujarnya.

Tinjauan ke ruangan komen menunjukkan majoriti pengguna laman sosial berasa sebak melihat keadaan wanita itu dan ramai yang turut berterima kasih kepada Nabil atas pertolongan yang dihulurkan.

Untuk makluman, Stesen LRT yang digantung operasi ialah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: