09 November 2022

DIBANDINGKAN CARA MENGACARA MELETOP - HAWA RIZWANA MAHU DIKENALI ATAS NAMA SENDIRI, AKUI BUKAN MUDAH GANTI NEELOFA



"Apa pun yang saya buat adalah untuk diri sendiri. Terserah kepada orang lain untuk membuat tanggapan tetapi kalau boleh saya mahu dikenali bukan sebab orang lain.


"Semoga satu hari nanti orang boleh terima kehadiran saya," tutur Hawa Rizwana Redzuan berhubung segelintir penonton yang mula membuat perbandingan cara penyampaiannya dalam program MeleTOP dengan bekas pengacara iaitu Noor Neelofa.

Baru-baru ini, Hawa diumumkan sebagai hos baharu yang tetap untuk program tersebut bagi menggantikan Neelofa. Sering disamakan dengan pengacara sensasi itu, Hawa, 27, bagaimanapun berharap suatu hari nanti perkara tersebut tidak lagi diperkatakan dan penonton dapat menerima kehadirannya dalam industri menggunakan nama sendiri.

Selain Hawa antara selebriti wanita yang pernah bergandingan dengan Nabil sebagai hos sementara adalah Uyaina, Elly Mazlein dan Sherry Alhadad.

"Sebelum menjadi pengacara televisyen, wajah saya sudah viral kerana dikatakan sama seperti Neelofa. Kalau fikir apa orang hendak kata memang kita akan duduk di tempat sama sahaja. Saya perlu bekerja.

Klik untuk gambar besar



Melihat pencapaian Neelofa selama lapan tahun mengendalikan MeleTOP bersama Nabil Ahmad, Hawa sedar bahawa ia merupakan satu tanda aras tinggi untuk dia memikat hati peminat.

"Selama lapan tahun menjadi hos program ini, Neelofa telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi. Memanglah ada sedikit tekanan untuk saya gantikan tempatnya. Namun siapa yang tidak mahu apabila diberi peluang menjadi pengacara MeleTOP.

"Saya juga berterima kasih kepada Nabil kerana dia antara orang yang mahu saya menjadi hos. Sejak awal ditawarkan sebagai pengacara jemputan, Nabil sudah beritahu untuk terima sahaja menjadi hos tetap.

"Buat masa sekarang kami masih mencari keserasian antara satu sama lain kerana jarak umur yang jauh berbeza," jelasnya.


Sementara itu, Hawa juga meluahkan rasa terharu apabila bapanya sendiri iaitu Profesor Datuk Ahmad Redzuan yang juga merupakan bekas penyampai berita, memberi restu untuk dia terlibat dalam sebuah rancangan berbentuk hiburan.

Melihat penglibatannya ini juga merupakan satu peralihan pengacaraan program serius kepada lebih santai, sekali gus membuka ruang untuk dia lebih mengenali bakat sebenar dalam diri.

"Ibu bapa sangat menjaga setiap tingkah laku saya. Apabila berlaku perubahan drastik dalam kerjaya ini pastinya saya mahu mendapatkan restu mereka. Tak sangka ayah sangat mudah memberi restu apabila menerima tawaran ini.

"Ayah menonton setiap hasil kerja saya dan dia akan memberi komen jika ada yang tak kena. Kadang-kala dia juga berikan doa. Penglibatan dalam program ini juga memberi ruang untuk saya mencari kekuatan dan bakat dalam diri sendiri," ujarnya.

Terdahulu, Neelofa mengundur diri dari menjadi hos MeleTOP pada Disember 2019 dan sejak itu hanya pengacara jemputan wanita sahaja menjadi gandingan Nabil.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: