Semua sedia maklum mengenai Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang membuat pengumuman bahawa program tersebut akan menambahkan satu lagi minggu dimana konsert minggu terakhir yang sepatutnya berlangsung pada 20 November depan ditukar kepada 27 November.
Selain itu, GV9 turut membuat kejutan dengan menjemput penyanyi popular Indonesia, Raisa selaku juri jemputan pada konsert minggu kelapan yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA di sini malam ini.
Ini merupakan pengalaman pertama Raisa atau nama penuhnya Raisa Andriana, 32, menjadi juri jemputan dalam pertandingan program hiburan di Malaysia, termasuk sepanjang tempoh penganjuran GV.
Raisa dijemput menjadi juri selepas dia secara kebetulan berada di Malaysia sempena promosi konsertnya yang bakal berlangsung pada 20 November depan di Zepp Kuala Lumpur.
Klik untuk gambar besar
Namun, ketika konsert berlangsung terjadi perkara yang menimbulkan rasa kurang senang ramai apabila pengacara GV9 iaitu Nabil Ahmad telah mengajuk cara penyanyi Indonesia itu memberikan komen menggunakan bahasa Inggeris kepada peserta ketika itu iaitu Hazrul Nizam yang menyanyikan lagu 'Widuri'.
Susulan tindakan Nabil itu, rata-rata netizen di laman Twitter meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gurauan Nabil yang didakwa melampau. Malah, ada netizen meminta Nabil supaya lebih berhati-hati serta tidak mengajuk cara juri dalam memberikan komen kepada peserta.
Dalam pada itu, ada juga pengguna laman sosial berpendapat situasi itu berlaku dimana-mana sahaja sedangkan ianya bukan satu kesalahan untuk memberi komen dalam bahasa Inggeris.
________________________
No comments:
Post a Comment