15 November 2022

DISERANG ANGIN AHMAR - DAVID TEO ZIARAH PENGARAH AZAHARI ZAIN, HATI RASA SAYU



"Hati saya jadi sayu sangat ketika melawat dia. Kami kawan lama. Sama-sama berjuang dulu dalam industri filem dan sekarang dia kurang sihat. Saya mohon sama-sama kita doakan semoga Azahari sentiasa diberi kekuatan dan kesembuhan segera."


Itulah kata pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) dan juga penerbit filem, David Teo, 58, yang sayu hati melihat keadaan kesihatan rakan penjuangannya, pengarah filem, Azahari Zain, 50, yang diserang angin ahmar pada Februari lalu.

David menerusi laman Instagram miliknya telah berkongsi video serta gambar dia melawat Azahari di kediaman penggiat seni berkenaan bagi mengetahui keadaan terkini sahabat lamanya itu.

David berkata sepanjang MIG bekerjasama dengan Azahari, antara filem dihasilkan pengarah itu seperti 'Santau, 7 Petala Cinta', 'Hantu Dalam Botol Kicap', 'Mantra', 'Flat 3A', 'Zoo' dan banyak lagi.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu, Azahari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dibenarkan pulang ke rumah di Shah Alam, Selangor pada 18 April lalu, untuk meneruskan sesi rawatan selepas tiga bulan terlantar di hospital.

Memulakan karier seni pada 2004, Azahari pernah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya 'Tangkai Jering', 'Potret Mistik', 'Anak Mami Kembali', 'Nana Tanjung' dan 'Duyung'.

Pada Ogos lalu, Harian Metro melaporkan keadaan kesihatan Azahari menunjukkan perkembangan positif apabila dia sudah boleh duduk untuk sekejap, selain sedikit pergerakan biasa pada anggota badan, tangan dan kaki.

Menurut isteri Azahari, Wahizatul Nureen Azmi atau mesra disapa Nureen, suaminya yang mengalami serangan strok pada kedua-dua belah bahagian badan memerlukan masa untuk pulih. Katanya, ada setengah orang boleh pulih cepat, setengah (orang) lagi, lambat nak pulih dan makan masa.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: