29 November 2022

FAIZAL TAHIR ISLAMKAN SAUDARA BARU TERIMA PUJIAN, DIDOAKAN MASUK SYURGA



Penyanyi Faizal Tahir, 44, menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini ada berkongsi video dimana dirinya sedang mengajar seorang jejaka yang ingin memeluk agama Islam dengan kerelaan hatinya tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.


Dalam video tersebut, Faizal yang mengajar pemuda berkenaan melafazkan kalimah Syahadah sebagai syarat menjadi seorang Muslim itu kelihatan tersenyum melihat lelaki itu memilih jalan baharu dalam hidupnya untuk mengamalkan ajaran Islam.

Usaha Faizal membawa saudara baru memeluk agama Islam itu telah mendapat pujian ramai termasuk rakan artis. Menerusi ruangan komen dalam video yang dimuat naik, rata-rata meluahkan rasa syukur dan berbangga dengan salah satu kerja amal dilakukan oleh penyanyi lagu 'Gemuruh' itu.

Klik untuk gambar besar



"Masya-Allah. Syurgalah tempatmu adik," kata penyanyi popular, Anuar Zain mengenai usaha rakannya itu yang membantu mengislamkan seorang mualaf untuk mengucap dua kalimah syahadah.

"Alhamdulillah.. seronok tengok usaha sahabat," tulis pelakon Ashraf Muslim." - "Allahuakbar," ucap pelakon Catriona Ross.

"Alhamdulillah, seronok tengok usaha sahabat." - "Tahniah Faizal. Bangga dengan kamu. Semoga Allah merahmati kamu dan keluarga." - "Tak boleh bayangkan bagaimana perasaan Faizal, semoga menjadi asbab masuk syurga," antara komen-komen pengguna laman sosial.



Faizal bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai individu tersebut, sebaliknya hanya berkongsi sepotong ayat Surah An-Nasr buat tatapan umum, dimana ia menceritakan tentang pertolongan Allah.

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. Surah An-Nasr (The Help)," tulisnya.

Pada September tahun lalu, Faizal pernah mengislamkan seorang warganegara New Zealand di Cameron Highlands bersama pasukan Hidayah Centre Foundation.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: